16 TIPS USAHANIAGA KAUM CINA

Tao Zhu Gong.

1. Berniaga mestilah rajin,jika tidak ianya tidak menjadi.

2. Belanja mesti jimat,jika tidak putus modal.
3. Sambut pelanggan dengan senyum,jika tidak pelanggan lari.
4. Masa sentiasa terbuka,jika tidak hilang peluang.
5. Harga perlu berpatutan,jika tidak timbul pergaduhan.
6. Memberi hutang perlu kenal orangnya, jika tidak hilang modal.
7. Akaun perlu semak sendiri, jika tidak tidak tahu kekuatan modal.
8. Beri tawaran perlu jelas dan terang,jika tidak ianya tidak teratur.
9. Barangan perlu dikemas,jika tidak ibarat sampah-sarap.
10. Beri arahan pekerja ikut peraturan,jika tidak makan diri.
11. Barang mesti semak sendiri, jika tidak rendah nilai dan mutunya.
12. Tempoh waktu tidak boleh lewat,jika tidak hilang kepercayaan.
13. Harta peribadi dan syarikat perlu jelas,jika tidak timbul penyelewengan.
14. Keluar masuk tunai perlu teliti ,jika tidak bertindih kesilapan.
15. Menghadapi masalah perlu diselesaikan segera dengan baik,jika tidak mudarat diri.
16. Niat mesti kukuh dan jelas,jika tidak membazir wang dan masa.

Friday, March 28, 2008

Guladama digelar ‘pakar’ permaidani


GULADAMA GUL RAHMAN.

BILA sebut bisnes berkaitan karpet buatan tangan dari Parsi, Afghanistan dan Pakistan, pasti yang terbayang di minda kita ialah bisnes yang diusahakan oleh kaum lelaki yang berasal dari negara-negara tersebut.

Namun, Guladama Gul Rahman, 53 tahun, berjaya membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu berjaya sehingga bertahan lebih 30 tahun.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, FATAH SULAIMAN berpeluang menemuramah wanita kelahiran Kuala Lumpur ini mencungkil rahsia kejayaannya.

MEGA: Bila dan bagaimanakah penglibatan puan dalam dunia perniagaan bermula?

GULADAMA: Kalau hendak bercerita tentang penglibatan saya dalam bidang perniagaan memanglah cukup panjang dan penuh berliku. Sebenarnya, memang daripada nenek moyang keturunan kami sewaktu mula-mula datang berhijrah dari Empayar Moghul, India ke Malaysia telah terlibat dengan perniagaan. Saya merupakan generasi ketiga yang lahir di bumi Malaysia dan pada masa itu menetap di Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Seingat sayalah, saya mula berniaga semasa berusia belasan tahun lagi dengan membuat perniagaan jualan langsung barang-barang loyang tembaga (brassware). Kemudian, pada tahun 1978, oleh kerana terlalu berminat dengan permaidani, saya mula membawa beberapa sampel permaidani.

Lebih kurang dua tahun lamanya saya menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah. Pada masa itu, pelanggan akan membuat tempahan menerusi sampel yang dibawa sebelum saya ambil daripada pembekal.

Setahun kemudian, saya mula mengimport sendiri barang-barang loyang tembaga dari Murada Abad, India dan pada tahun berikutnya, saya mengimport pula permaidani dari Pakistan dan Tibet. Pada lewat 1980-an saya membeli marmar dari Taiwan. Selepas itu, sedikit demi sedikit mengambil troli-troli dari Itali.

Setelah sekian lama beroperasi dari rumah maka pada tahun 1981, saya telah membuka kedai di salah sebuah deretan kedai di jalan utama, Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum membuka sebuah lagi lot kedai di Semua House, Jalan Masjid India.

Sayangnya, ia tidak bertahan lama iaitu selama setahun lebih kerana ketiadaan orang untuk menguruskan urusan rumah tangga dan anak-anak yang semakin membesar serta memerlukan perhatian.

Lantaran itu, sekali lagi saya beroperasi dari rumah. Oleh kerana, minat yang mendalam dalam dunia perniagaan, saya tidak berputus asa dan cuba mengubah kaedah pemasaran dengan membuat secara jualan langsung serta adakan parti-parti jualan produk di kalangan pelanggan lama dan baru.

Apabila anak-anak sudah semakin membesar dan berdikari iaitu kini antara usia 25 hingga 13 tahun, saya mula menanam hasrat untuk membuka sebuah kedai pameran seperti yang pernah saya buka dahulu.

Alhamdulillah, apabila anak sulung, Zaien Kamal menamatkan pengajiannya di Kanada dan kembali ke tanah air, dialah yang banyak membantu saya dan hasilnya, kedai pameran Elegant Touches Fine Carpet direalisasikan di 37, Jalan PJU 5/12, Dataran Sunway, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Mei 2007.

Selain memfokuskan kepada bisnes permaidani sama ada karpet buatan tangan dan mesin, apa lagi yang disediakan di kedai Elegant Touches?

GULADAMA: Bermula dengan minat kepada permaidani sehingga membawa kepada pengalaman lebih 34 tahun dalam bisnes sebegini menyebabkan anak serta pelanggan menggelar saya ‘pakar’ permaidani. Jolokan dan gelaran ini pastinya merupakan satu pujian serta pemangkin semangat malah galakan untuk saya terus berjuang dalam dunia perniagaan, meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

Kami di sini amat mementingkan kualiti dan kehendak pelanggan. Sebab itulah, saya memastikan lokasi mana permaidani itu dihasilkan. Kami di sini, hanya mengambil permaidani-permaidani yang dibuat oleh pengusaha di industri kotej (cottage industry) sama ada dari sempadan Parsi, Afghanistan dan Pakistan. Ini kerana, permaidani yang dihasilkan mereka diakui bermutu, tampak lusuh kerana lamanya tempoh pembikinan serta ia menggunakan pencelup atau pewarna yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia lebih mesra alam.

Pun begitu, di Elegant Touches kami juga menawarkan karpet-karpet yang dibuat dengan mesin memandangkan harga yang agak murah berbanding buatan tangan.

Malah kami juga menyediakan perkhidmatan membaikpulih dan mencuci karpet sungguhpun, mereka tidak membeli daripada kami. Kami juga menyediakan perkhidmatan selepas waktu pejabat memandangkan kesibukan masyarakat di kota.

Selain itu, Elegant Touches turut menawarkan perabot-perabot rumah seperti meja makan, almari sisi, rak televisyen dan banyak lagi daripada kayu jati dan kayu merbau.

Para pelanggan yang berminat dengan aksesori perhiasan diri seperti rantai leher, rantai dan gelang tangan sama ada mutiara, batu jed dan kristal juga boleh memperolehnya di kedai ini.

Bagi mereka yang berminat bolehlah berkunjung ke kedai pameran kami ataupun menghubungi kedai di talian 03-6141 7455.

Bila sebut bisnes karpet buatan tangan terutamanya yang diimport dari luar negara, pasti yang terbayang ialah harganya yang mahal. Adakah perkara ini menjadi halangan serta bagaimana puan menjelaskan kepada pelanggan?

GULADAMA: Harganya yang agak tinggi sedikit memanglah tidak dapat saya nafikan tetapi bak kata pepatah, ‘alah membeli, menang memakai.’

Jika hendak dibandingkan permaidani buatan tangan dengan permaidani mesin, ia sangat jauh berbeza. Salah satunya, karpet buatan tangan ini ia tidak berhabuk dan kalau mereka yang alahan serta berpenyakit asma, ia tidak memburukkan lagi kesihatan. Berlainan dengan karpet yang dibuat menggunakan mesin, ia bukan sahaja memerangkap habuk tetapi bulunya mudah bebas di udara dan secara tidak langsung, memberi kesan yang tidak berapa baik kepada mereka yang menghadapi masalah alahan kulit dan asma.

Lantaran itulah, kami lebih menyarankan pelanggan untuk membeli karpet buatan tangan yang banyak ditawarkan di sini walaupun harganya mahal sedikit. Apa lagi, dalam pembuatannya ia menggunakan bahan-bahan pewarna dan pencelup yang berasaskan tumbuh-tumbuhan, jadi ia lebih selamat dan tahan lama.

Karpet buatan tangannya selain lembut, bulunya juga tahan lama dan tidak mudah botak berbanding yang diperbuat daripada mesin.

Apakah rahsia puan terus bertahan dalam bisnes karpet yang kita ketahui jarang diceburi usahawan tempatan, lebih-lebih lagi seorang wanita?

GULADAMA: Prinsip saya, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan.’ Bertitik-tolak dari situlah, walau apa juga cabaran yang mendatang, saya pasti berusaha menghadapinya. Malah menerusi perniagaan inilah, saya membesarkan anak-anak sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Namun, itu sampai ke tahap sebegini bukanlah mudah malah ia memerlukan kerja keras, kesabaran, ketahanan mental dan fizikal, modal pusingan serta paling penting sentiasa berserah kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kalau hendak dikongsikan pengalaman pahit dalam dunia perniagaan seperti ditipu, pernah kehilangan van yang sarat berisi karpet serta banyak lagi, memanglah tidak sanggup ditanggung tetapi disebabkan minat yang mendalam, saya berani laluinya dan alhamdulillah berjaya menghadapinya.

Kakak saya pernah menyuruh saya berfikir semasak-masaknya untuk terus bergelar usahawan bila dia melihat kesukaran yang dihadapi, tetapi itu semua saya anggap sebagai satu cabaran.

Apa yang saya lihat, dalam berniaga kita mesti bersikap mesra pelanggan, ramah, menjaga rahsia serta membina seberapa banyak kenalan. Malah moto pelanggan adalah benar, mestilah sentiasa dijaga kerana kesabaran kita, secara tidak langsung akan membina hubungan baik yang berterusan hingga ke anak cucu mereka.

Apakah perancangan akan datang puan?

GULADAMA: Alhamdulillah, semenjak dibantu oleh Zaien kerja-kerja pemasaran dan di kedai agak teratur juga. Untuk tempoh jangka masa pendek ini, kami sedang berusaha membina kepercayaan pelanggan terutamanya yang baru dan mereka yang pada masa itu berada di kawasan ini. Pada peringkat permulaan, bisnes memang agak sukar tetapi selepas disebarkan risalah-risalah, sudah ada nampak sambutan contohnya kehadiran pelanggan.

Apa lagi dengan kemudahan pembayaran ansuran secara kredit menerusi penggunaan kad kredit tanpa faedah, diharap dapat menarik pelanggan.

Bagi perancangan jangka masa panjang, Zaien sedang dalam proses untuk membuka sebuah cawangan kami di Kanada. Insya-Allah, paling lewat pun pada tahun depan.

sumber Utusan Malaysia 22 Februari 2008

0 comments: