|
|
MUKADIMAH
YANG bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Begitulah pandangan Pengarah Urusan Sky Antique Design Sdn. Bhd., Masyitah Mohd. Yusof, tentang dunia perniagaan yang baru diceburinya tidak sampai dua tahun itu.
Pun begitu, dengan adanya usaha, kegigihan tanpa mengenal erti putus asa serta sokongan pekerja dan pelanggan, apa yang mustahil dicapai berjaya ditempuhi. Malah katanya, kecetekan pengalaman dan kematangan usia bukan ukuran kepada kejayaan tetapi ia lebih kepada faktor di atas.
Wartawan, ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto, MOHD. ZULASHRAFE ABDUL GHANI berpeluang menemuramah wanita berusia 28 tahun ini bercerita pengalamannya bergelar usahawan.
9/10 Punca Rezeki
MEGA: Bagaimanakah anda mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dan mengapa bisnes berkaitan hiasan dalaman, kabinet dapur dan pengubahsuaian menjadi pilihan?
MASYITAH: Sebenarnya, penglibatan saya dalam bidang keusahawanan bermula daripada idea suami, Rushdan Mustafa. Ini kerana dialah orang yang berperanan penting memberi pendedahan serta galakan kepada saya untuk turut serta bersama-sama dengan beliau mengusahakan perniagaan kami ini.
Bila kita sebut hasrat untuk mulakan perniagaan, kebiasaannya ramai berpesan, kalau kita hendak memilih sesuatu perniagaan, pastikan kita tahu sedikit sebanyak bentuk atau jenis perniagaan yang dipilih.
Saya mengakuinya tetapi oleh kerana minat yang begitu mendalam, dengan bermodalkan wang simpanan sebanyak RM200,000, kami memberanikan diri dan tidak memandang ke belakang.
Lantaran itu, Penubuhan Sky Antique Design Sdn. Bhd. pada Ogos 2006 di 11-1, Jalan Melati Utama 4, Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur membuktikan kesungguhan dan keyakinan, sekali gus merupakan langkah sulung kami bergelar usahawan.
Langkah seterusnya yang diambil ialah dengan membuka bilik pameran yang menarik dan di lokasi strategik. Ia bertujuan memberi peluang kepada mereka yang berminat boleh membuat perundingan atau sekurang-kurangnya mendapat idea demi rumah idaman mereka.
Alhamdulillah, kami mampu bergerak rancak dengan adanya seorang pengurus dan pereka bentuk hiasan dalaman yang mempunyai ilmu dan latar belakang luas dalam perniagaan berkaitan hiasan dalaman, kabinet dapur dan pengubahsuaian.
Malah dari situlah kami menyedari dan dapati potensi besar bisnes ini untuk terus berkembang apatah lagi, penerimaan masyarakat dengan konsep pembinaan kabinet dapur, pengubahsuaian dan perkhidmatan yang berkaitan semakin diterima dan dianggap sudah satu keperluan bukan lagi kemewahan.
Perkhidmatan yang bagaimanakah disediakan Sky Antique Design kepada setiap pelanggan?
MASYITAH: Alhamdulillah, semenjak bermula hinggalah sekarang, kami banyak menerima pelanggan yang pelbagai bangsa dan status.
Sebenarnya, setiap individu pelanggan itu mempunyai cita rasa dan kehendak mereka yang tersendiri. Ada yang mahu ringkas, bergaya, moden dan sebagainya.
Di Sky Antique Design kami pakar dalam menyiapkan kabinet dapur, almari pakaian, pembahagi ruang, tempahan khas katil, kerja-kerja pengubahsuaian dan kabinet televisyen serta yang berkaitan dengannya.
Bagi mereka yang sudah mempunyai kelengkapan dan kemudahan ini di rumah, kami turut menyediakan aneka aksesori sama ada untuk kabinet dapur mahupun di bilik tidur.
Antara kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan ialah kami menyediakan perkhidmatan seperti mereka bentuk, melakar, menyediakan sebut harga secara percuma dan melakukan kerja-kerja pengukuran tanpa dikenakan bayaran tambahan.
Sementara itu, dari segi kaedah pembayaran, kami turut menerima secara tunai dan kad kredit.
Pastinya dalam tempoh tidak sampai dua tahun ini, sudah ada cabaran yang terpaksa anda hadapi, apa lagi menyedari ia satu bisnes yang dimonopoli bangsa asing?
MASYITAH: Memanglah cabaran itu sentiasa ada tidak kiralah ia kecil mahupun besar. Namun, saya beranggapan setiap cabaran itu ada hikmah di sebaliknya kerana ia akan mematangkan kita dalam melihat sesuatu situasi itu.
Seperkara yang selalu saya terapkan ialah berpandangan positif terhadap apa juga cabaran mendatang. Ini kerana secara tidak langsung, ia membuatkan fikiran kita sentiasa ke arah positif walau sehebat mana dugaan melanda.
Mungkin peristiwa yang boleh diibaratkan ditikam dari belakang oleh orang yang dipercayai dalam syarikat boleh dikategorikan sebagai cabaran hebat kami. Apa tidaknya, kami terpaksa bangkit kembali semenjak peristiwa itu.
Namun, itu semua saya anggap sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan. Apa yang berlaku ini menyedarkan saya, sekali gus menjadi peringatan bahawa kita tidak boleh bulat-bulat mempercayai seseorang itu dan lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan.
Cabaran dari segi persaingan mungkin kita tidak dapat lari lebih-lebih lagi di kawasan perniagaan ini sudah terdapat beberapa buah syarikat seperti kami yang lebih kukuh namanya dan dimiliki bukan bumiputera.
Dengan kehadiran tenaga muda, mengutamakan kualiti, menepati cita rasa dan kehendak pelanggan serta beberapa promosi perkhidmatan secara percuma, saya percaya Sky Antique Design dapat terus bertahan.
Apakah perancangan masa depan anda dalam dunia perniagaan?
MASYITAH: Untuk masa terdekat ini, kami sedang dalam usaha untuk meluaskan pemasaran. Oleh itu kami menggunakan medium seperti iklan-iklan di media massa, penyebaran risalah-risalah berkenaan perkhidmatan dan kepakaran yang disediakan di sekitar Lembah Klang. Pun begitu, kami juga ada menerima tempahan pelanggan dari Seremban, Negeri Sembilan.
Sungguhpun pengetahuan orang ramai tentang keperluan kabinet dapur semakin meningkat namun pendidikan itu mestilah diteruskan, waima ia disampaikan secara tidak langsung.
Hakikatnya, setiap rumah mempunyai dapur dan ruang ini selalunya dianggap jantung kepada rumah. Memandangkan ketinggian penilaian yang diberikan kepada dapur maka sudah pasti dapur yang kemas dan teratur menjadi idaman setiap masyarakat.
Lantaran itu, kami berkeyakinan permintaan terhadap perkhidmatan ini akan berterusan dan tidak terhenti selagi mana pembinaan kawasan perumahan dan bangunan pejabat berkembang pesat.
0 comments:
Post a Comment