16 TIPS USAHANIAGA KAUM CINA

Tao Zhu Gong.

1. Berniaga mestilah rajin,jika tidak ianya tidak menjadi.

2. Belanja mesti jimat,jika tidak putus modal.
3. Sambut pelanggan dengan senyum,jika tidak pelanggan lari.
4. Masa sentiasa terbuka,jika tidak hilang peluang.
5. Harga perlu berpatutan,jika tidak timbul pergaduhan.
6. Memberi hutang perlu kenal orangnya, jika tidak hilang modal.
7. Akaun perlu semak sendiri, jika tidak tidak tahu kekuatan modal.
8. Beri tawaran perlu jelas dan terang,jika tidak ianya tidak teratur.
9. Barangan perlu dikemas,jika tidak ibarat sampah-sarap.
10. Beri arahan pekerja ikut peraturan,jika tidak makan diri.
11. Barang mesti semak sendiri, jika tidak rendah nilai dan mutunya.
12. Tempoh waktu tidak boleh lewat,jika tidak hilang kepercayaan.
13. Harta peribadi dan syarikat perlu jelas,jika tidak timbul penyelewengan.
14. Keluar masuk tunai perlu teliti ,jika tidak bertindih kesilapan.
15. Menghadapi masalah perlu diselesaikan segera dengan baik,jika tidak mudarat diri.
16. Niat mesti kukuh dan jelas,jika tidak membazir wang dan masa.

Friday, March 28, 2008

Dulu guru sekolah, kini jutawan


Keluarga bahagia... Kamarulzaman Jailan bersama isteri, Wan Azalili Wan Abd. Aziz dan salah seorang daripada tiga anaknya.

MUKADIMAH
MENJADI jutawan merupakan impian setiap kita yang saban hari bertungkus lumus bekerja mencari rezeki dari titik peluh yang halal.

Bagaimanapun, berapa ramaikah daripada kita yang berjaya mencapai impian tersebut walaupun telah mencurahkan keringat dari awal pagi hingga lewat tengah malam.

Sebelum ini, situasi yang sama juga dihadapi oleh Kamarulzaman Jailan, 46, yang meninggalkan kerjaya perguruan untuk menceburi bidang perniagaan. Beliau melakukan pelbagai perniagaan daripada berniaga di pasar malam, menjual nasi lemak hinggalah menjual cakera padat (CD) dan pernah diisytiharkan muflis pada tahun 1993.

Tetapi beliau kini bergelar jutawan, hasil penyertaan dalam syarikat pemasaran jualan langsung pelbagai peringkat (MLM), De Classic Life (M) Sdn. Bhd. atau DCL. Wartawan NOOR FAZRINA KAMAL dan jurugambar ROY AZIS menemu bual Kamarulzaman bagi berkongsi rahsia bagaimana menjadi jutawan dengan hanya menyertai perniagaan MLM.

Mega: Boleh cerita serba sedikit latar belakang saudara?

KAMARULZAMAN: Saya dilahirkan di Batu Pahat, Johor, 46 tahun lalu dan telah mendirikan rumah tangga dengan Wan Azlaili Wan Abd. Aziz pada 1990 dan kini mempunyai tiga cahaya mata.

Saya pernah mendapat latihan di Maktab Asas Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dari 1982 hingga 1984. Selepas tamat pengajian, saya memulakan tugas sebagai guru pada 1985 sehingga meletak jawatan lima tahun kemudian untuk menceburi dalam bidang perniagaan.

Saya dan isteri mempunyai minat yang sama, iaitu menceburi bidang perniagaan dan kami mengharungi dunia tersebut bersama-sama.

Bagaimana pula boleh terbabit dalam bidang perniagaan MLM sehingga berjaya bergelar jutawan seperti sekarang?

KAMARULZAMAN: Saya menceburi bidang perniagaan MLM kerana inginkan pendapatan yang lumayan dan lebih penting perubahan dalam hidup.

Bagaimanapun, sebelum bersama DCL, saya telah menyertai tiga syarikat MLM dari tahun 1986 hingga 2002. Sepanjang tempoh itu terlalu banyak cabaran yang saya tempuhi. Jatuh bangun dalam perniagaan sehingga ke peringkat saya pernah diisytiharkan muflis pada 1993.

Kami sering berpindah rumah kerana tidak mampu membayar sewa dan pernah ketika berpindah dari Johor ke Temerloh, Pahang, saya hanya mempunyai RM5 dalam poket.

Selain jualan langsung, untuk menampung hidup saya juga melakukan bermacam-macam perniagaan termasuk berniaga di pasar malam, menjual CD dan berniaga nasi lemak.

Walaupun tiga kali gagal dalam MLM, saya tidak patah semangat sehinggalah saya diperkenalkan dengan DCL oleh seorang rakan pada Oktober 2002.

Pastinya banyak cabaran yang saudara lalu sebelum berjaya seperti sekarang?

KAMARULZAMAN: Memang betul. Dalam apa juga bidang, untuk berjaya kita tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Apa yang penting bagi saya ialah kesungguhan dan kerja keras serta tidak cepat berputus asa.

Antara cabaran paling besar ialah apabila saya diberi tanggungjawab oleh Pengerusi Eksekutif DCL, Datuk Stapa Omar untuk membina rangkaian DCL di Sabah. Saya ingat lagi, mesyuarat pertama saya di sana pada 2003 hanya tiga orang saja yang hadir.

Bagaimanapun, saya tidak patah semangat, sebaliknya berusaha mencari formula bagaimana untuk menembusi pasaran negeri Sabah selepas empat kali cubaan sebelum ini menemui kegagalan.

Saya dapati puncanya ketika itu ialah kami gagal menghayati budaya perniagaan masyarakat di sana. Justeru, saya berusaha untuk merapatkan jurang tersebut dengan mendekati dan meletakkan diri sebagai sebahagian daripada mereka.

Hasilnya, dalam tempoh tidak sampai lima tahun, sekarang kami mempunyai lebih 100,000 pengedar di seluruh Sabah dan tiga daripadanya sudah sampai ke tahap jutawan. Sekarang ini saya dalam proses membantu menghasilkan beberapa lagi jutawan DCL di Sabah.

Untuk berjaya pastinya perlu pengorbanan. Apakah pengorbanan paling besar yang saudara lakukan?

KAMARULZAMAN: Pengorbanan paling besar sudah tentu masa bersama keluarga. Saya akui banyak masa bersama keluarga terpaksa dikorbankan. Mujur juga isteri saya begitu memahami, malah ada masanya dia mengambil alih tugas saya sebagai suami bagi memberi ruang kepada saya membina empayar perniagaan demi kesenangan kami bersama.

Bayangkan dalam sebulan, 25 hari saya terpaksa bekerja di luar daerah tanpa satu hari cuti pun. Rutin ini berterusan selama empat tahun di mana terpaksa berulang alik ke Singapura, Brunei, selain Sabah dan seluruh Semenanjung.

Cuma dua atau tiga hari saya bertemu isteri dan anak-anak. Dalam hal ini saya amat menghargai pengorbanan yang dibuat isteri dan anak-anak.

Pengorbanan tersebut sedikit sebanyak berbayar apabila pada 2004 saya telah dinobatkan sebagai duta jutawan DCL pertama, iaitu hanya kira-kira dua tahun selepas menyertai syarikat tersebut. Hasil daripada pengorbanan bekerja keras ini juga, syarikat juga telah memilih saya untuk memegang jawatan Presiden Direktor PT DCL Indonesia bermula tahun 2008 ini. Saya anggap pemilihan itu sebagai tanggungjawab untuk memastikan produk-produk DCL dikenali dan diterima oleh masyarakat di sana.

Pada pandangan saudara apakah kelebihan dalam perniagaan MLM?

KAMARULZAMAN: Pertamanya, sudah tentu pendapatan lumayan dalam tempoh yang kita sendiri boleh tetapkan sama ada cepat atau lambat. Apa yang penting kesediaan untuk berusaha dan berkerja keras.

MLM membolehkan semua orang tanpa mengira peringkat usia, status, kaya atau miskin mampu memiliki perniagaan sendiri tanpa memerlukan modal yang besar seperti perniagaan lain. Ini kerana MLM boleh dijalankan di mana-mana, waima di dalam kereta sekalipun dan tidak semestinya memiliki kedai.

Selain itu, dalam bidang MLM ini, kita sentiasa dikelilingi oleh orang-orang yang menyokong terutama ahli keluarga, saudara mara dan kawan-kawan untuk sama-sama mengecapi kejayaan dan kemewahan.

Apakah anda puas hati dengan pencapaian sekarang?

KAMARULZAMAN: Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan kurniakan. Dengan pendapatan enam angka sebulan, berpeluang memiliki kereta mewah dan beberapa aset sebagai pelaburan hasil daripada perniagaan bersama DCL. Berpuas hati bukan bermakna saya perlu berhenti berusaha. Banyak lagi yang perlu saya lakukan kerana saya mahu melihat lebih ramai usahawan-usahawan DCL lain juga bergelar jutawan membantu mereka agar impian menjadi kenyataan.

Utusan Malaysia


Read more...

Osman gigih majukan perniagaan tayar

JOHOR BAHRU 24 Mac - Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah peribahasa yang dipegang oleh Osman Basiron, 43, dalam mengusahakan perniagaan tayar dan rim kereta sejak 2003.

Berkat kegigihannya, anak kelahiran Jorak, Muar ini mampu berbangga kerana mula dikenali sebagai ‘saudagar tayar’ di bandar raya Johor Bahru.

Osman, 43, yang mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan tayar, rim dan penyelenggaraan enjin kenderaan lebih 15 tahun lalu kini mempunyai empat premis yang terletak di lokasi strategik di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Premis pertama ditubuhkan pada 1992 iaitu Kampung Melayu Enterprise Sdn. Bhd. manakala premis kedua yang ditubuhkan pada 1998 diberi nama Utama Tayar & Ekzos Enterprise yang terletak di Bandar Baru Uda.

Perniagaan Osman semakin berkembang selepas itu dengan kewujudan Bumitayar & Sportsrim Enterprise yang terletak di Jalan Padi Emas, juga di Bandar Baru UDA pada 2003 dan premis keempat adalah World Tyre & Sportsrim Enterprise di Larkin Indah yang mula beroperasi September tahun lalu.

Apa yang menarik mengenai bapa kepada tiga orang anak ini ialah sebelum melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, Osman yang hanya berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) telah menjalani kursus selama enam bulan dalam bidang melepa dan mengikat batu di Koperasi Belia Negara.

“Selepas itu saya mencari pengalaman kerja dengan bekerja di kedai servis tayar selama enam tahun di Taman Sentosa. Selepas itu saya mendapat satu kekuatan dan keyakinan untuk membuka satu kedai seumpama itu di Kampung Melayu di sini.

“Dengan modal awal sebanyak RM50,000 yang dipinjamkan menerusi Program Rakan Muda dan RM15,000 wang sendiri, saya memulakan perniagaan ini dan bermula dari situ ia terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Berikutan perkembangan yang amat memberangsangkan, Osman tekad membuka satu lagi cawangan di Bandar Baru Uda pada 1998.

“Langkah saya membuka premis di Bandar Baru Uda kerana ia merupakan satu fardu kifayah berikutan kawasan itu merupakan satu kawasan elit yang dihuni oleh golongan korporat dan pegawai kanan kerajaan serta usahawan Melayu.

Menurutnya, bagi memulakan Utama Tayar & Ekzos Enterprise, beliau telah membuat pinjaman sebanyak RM100,000 daripada sebuah bank komersial.

Osman berkata, menyedari cita rasa pengguna yang begitu tinggi, beliau sentiasa peka dengan setiap alat ganti yang dijual dengan menawarkan alat ganti tulen dan terkini.

Beliau mengakui kejayaan yang diperolehi kini bukanlah atas usahanya seorang, sebaliknya mendapat komitmen, sokongan dan dorongan daripada isteri, Sarimawati Kassim, 39, selaku Pengarah Urusan yang banyak memainkan peranan khasnya dalam kerja-kerja dalaman terutama soal kewangan.

“Selain itu, apa yang buat saya bangga dengan kejayaan yang dicapai hari ini bukan sekadar dinikmati kami sekeluarga, namun ia turut dapat dikecapi 27 anak Melayu kerana berpeluang bekerja sebagai mekanik di premis saya,” katanya.

Osman berkata, mereka merupakan pekerja terlatih lepasan Pusat Giat Mara, Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang dan sekolah vokasional.

Berikutan bakat dan kejayaan yang dicapai oleh Osman, beliau kerap diundang untuk memberi ceramah dan berdialog dengan usahawan-usahawan baru dalam seminar atau bengkel-bengkel anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau sering mengingatkan usahawan baru supaya berusaha dengan gigih, berdisiplin, dan tidak pernah kenal erti penat dan jemu dalam melakukan sesuatu perniagaan.

“Dalam apa juga keadaan, kita mesti berpegang kuat pada niat dan jangan lari daripada landasan, insya-Allah kejayaan yang diidam-idamkan akan dicapai,” katanya.

Mengenai masa depan perniagaannya, Osman menjelaskan, di samping untuk memperkukuh dan memantapkan premis sedia ada, beliau sedang meninjau untuk mengembangkan perniagaan itu di beberapa kawasan di bandar raya ini.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan keluarga itu, anak sulungnya, Ainol Nadira, 18, turut membantu menguruskan Utama Tayar & Ekzos Enterprise di Bandar Baru Uda, katanya.

Utusan Malysia


Read more...

Ternakan lembu tingkatkan pendapatan petani

Ternakan lembu tingkatkan pendapatan petani

Oleh HARIS FADILAH AHMAD


PETUGAS Jabatan Perkhidmatan Haiwan memeriksa tahap kesihatan lembu di Pusat Pemasaran dan Ternakan Lembu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampung Paya Rajin, Jerantut, semalam.

JERANTUT - Pusat Pemasaran dan Ternakan Lembu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampung Paya Rajin di sini merupakan pengendali utama ternakan dan pasaran lembu di Pahang yang dijalankan secara sistematik untuk menambah pendapatan petani luar bandar.

Projek itu menjadi perintis ternakan komersial di kawasan Pahang Barat seiring program Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) yang mula dinikmati di kalangan petani di Jerantut, Maran, Temerloh, Raub dan Kuala Lipis.

Pusat itu mula beroperasi pada 1998 dengan suntikan modal sebanyak RM300,000 di tiga buah kandang dengan kapasiti sebanyak 300 ekor lembu.

Penubuhan pusat itu sejajar dengan permintaan daging lembu yang kian meningkat pada masa ini.

Pusat ternakan baka kacukan Kedah dan Kelantan atau dikenali sebagai 'Berahman' itu mempunyai kemudahan padang ternak, pusat pemprosesan makanan, kolam, pejabat selain bekalan elektrik, air dan lojistik.

Pegawai FAMA daerah, Mohd. Lokman Mohd. Isa berkata, usaha agensi berkenaan merupakan konsep baru berasaskan pendekatan integrasi rantaian bekalan.

Modus operandi Fama, menurut beliau, sebagai pusat pembelian, stok dan memasarkan haiwan berkenaan kepada pemborong di pasar tani, peniaga dan penternak di seluruh negeri.

Beliau berkata, usaha itu juga diperluaskan kepada usahawan ternakan dan pemborong di Selangor, Melaka, Perak, Kelantan, Terengganu dan Lembah Klang yang menjadi rangkaian urusniaga dengan pusat itu.

''Projek ini merupakan pemangkin industri ternakan terbesar untuk memberi peluang kepada petani dan belia di luar bandar menceburi bidang keusahawanan," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Paya Rajin di sini hari ini.

Sejak beroperasi, menurutnya, pusat itu berjaya membantu 250 orang penternak, empat syarikat swasta, sembilan usahawan dan urusniaga bekalan kepada Felda, Risda, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Lembaga Getah Malaysia yang membabitkan perjanjian kontrak pemasaran dan pemindahan teknologi.

Kata Mohd. Lokman, bermula dengan hanya 37 ekor lembu, kini pusat ternakan itu mencatat pulangan sebanyak RM2 juta setahun dengan lebih 1,500 ekor lembu pada masa ini.

''Peranan projek ini bagi menjamin bekalan sentiasa mencukupi di pasaran malah dapat membantu mana-mana rangkaian pasar tani dan ladang ternakan di Pahang yang menghadapi kekurangan bekalan pada waktu tertentu," katanya.

FAMA Pahang, tambahnya, mempunyai stok bekalan lembu antara 1,500 hingga 2,000 ekor untuk keperluan pasar tani dan pusat jualan bagi persiapan umat Islam menyambut perayaan dan majlis tertentu," katanya.

Beliau memberitahu, jumlah itu tidak termasuk pembelian lembu dari tempat lain untuk menambah bilangan haiwan berkenaan dalam stok yang ada bagi pasaran tahun depan.

Mohd. Lokman berkata, projek itu bertujuan menyediakan persekitaran pemasaran yang kondusif bagi meningkatkan penglibatan golongan sasar dan pelabur swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi menerusi sektor ternakan yang lebih efisien.

''Kita tidak akan lari daripada matlamat asal untuk membantu petani yang berpendapatan rendah di Pahang Barat untuk bergiat dalam bidang ternakan menerusi pembelian dan sistem khidmat bantuan ternakan dan pasaran," katanya.

Selain pasaran, katanya, khidmat lain yang diberikan termasuk penyelenggaraan berkaitan pencegahan penyakit, pemberian vitamin, ujian darah, ubat-ubatan serta permit membawa masuk dan keluar yang mendapat kerjasama JPH daerah.

Mohd. Lokman yang merupakan pencetus idea projek tersebut berkata, urusan pusat tersebut dikendalikan seorang Pegawai Pusat Pemasaran

Fama dengan dibantu dua petugas menjaga kandang dan pengurusan tertentu sepenuh masa.

"Purata kita memasarkan lembu berjumlah antara 150 hingga 200 ekor lembu seminggu dan dijangka meningkatkan menjelang musim perayaan," katanya.

Menurut beliau, pusat itu banyak menerima tempahan lembu daripada pengusaha dan usahawan di Pekan, Maran, Kuantan dan negeri-negeri lain.

''Kita mempunyai logistik sendiri iaitu menggunakan beberapa lori untuk menghantar lembu berkenaan ke pusat ternakan dan ladang milik persendirian di seluruh Semenanjung," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha ternakan di Seri Jaya, Kuantan, Koh Wai Kiat, 33, berkata, syarikatnya telah berurusan dengan pusat itu sejak hampir dua tahun lalu dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya dari segi harga dan jumlah lembu yang dikehendaki.

''Sebagai penternak yang baru menceburkan diri dalam bidang ini, Fama banyak mengajar saya mengenai teknik pengurusan ternakan lembu, aspek infrastruktur dan kewangan sehingga membolehkan perniagaan saya berjaya," katanya.

Dia menambah, syarikatnya membeli antara 30 hingga 50 ekor lembu betina jenis Berahman dari pusat itu untuk diternak bersama baka lembu jantan di ladang ternakan di Seri Jaya.



Utusan Malaysia


Read more...

Nada Food sasar kembang operasi di Asia Barat

KUALA LUMPUR 20 Mac – Nada Food Sdn. Bhd. (Nada Food), pengeluar makanan halal berjenama Ibu, optimis untuk memasarkan produknya ke luar negara bagi memenuhi permintaan orang Islam terhadap makanan tersebut.

Pengarah Urusannya, Rohana Othman berkata, pasaran eksport sasarannya ialah ke beberapa negara jiran dan juga Asia Barat.

Menurutnya, projek pengembangan pasaran itu bakal direalisasikan menjelang akhir tahun ini dan syarikat kini sedang menyusun strategi awal untuk mencapai misi tersebut.

‘‘Antaranya kami bercadang untuk menjadikan kilang kami memiliki piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan piawaian lain bertaraf antarabangsa bagi membolehkan produk yang dikeluarkan nanti mampu memenuhi keperluan piawaian antarabangsa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Buat masa sekarang, Nada Food yang mula ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dengan modal sebanyak RM200,000 beroperasi di Bandar Sri Damansara, di sini.

Kilang itu menghasilkan makanan berjenama Ibu seperti mee dan kuey tiaw, produk gegulung ikan, bebola ikan goreng, bebola ketam, bebola ikan, kiub ikan, bebola udang dan bebola sotong, tauhu segar, tempe segar, tempe pedas, pai ayam, pai daging dan pai tuna.

‘‘Mee dan kuey tiaw kami tidak memiliki bahan pengawet memandangkan ia memberi kesan sampingan kepada penggunanya.

‘‘Untuk mengelakkan daripada menggunakan bahan pengawet, syarikat terpaksa menggunakan tepung bermutu tinggi yang hanya dikhaskan untuk membuat mee, minyak masak yang tidak dikitar semula serta persekitaran membuat mee juga perlu bersih sehingga ke proses terakhirnya.

‘‘Ini termasuk juga daripada segi penghantaran ke pasar raya dan kedai-kedai kerana kami menggunakan lori yang memiliki penghawa dingin untuk mengekalkan kualitinya agar pengguna dapat menikmati makanan yang bersih dan sihat,’’ jelasnya lagi.

Antara keunikan produk Nada Food ialah tidak mengandungi asid borik dan bahan pengawet dan ia turut memberi maklumat kepada pengguna mengenai tarikh pengeluaran dan tarikh luputnya.

Rohana berkata, meskipun kos operasinya yang ditanggungnya agak tinggi tetapi beban harga yang ditanggung oleh pengguna pula tidaklah setinggi mana kerana ia hanya kira-kira 20 sen hingga 30 sen berbanding harga mee dan kuey tiaw syarikat lain di pasaran.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa segala cabaran pahit manis yang telah dilaluinya sepanjang menguruskan empayarnya terutama terpaksa bersaing dengan produk keluaran bukan bumiputera kini telah terbayar apabila produk-produk berjenama Ibu diterima pengguna.

Baginya, adalah menjadi tanggungjawab usahawan beragama Islam seperti dirinya yang memiliki kelebihan mengeluarkan produk itu dan menghasilkannya kepada pasaran bukan sahaja pengguna Islam tetapi juga bukan beragama Islam.

Kata beliau, ini dapat dilihat daripada kejayaannya memasarkan produknya yang bukan sahaja banyak terdapat di sekitar Lembah Klang tetapi juga berjaya menembusi sebuah pasar raya besar untuk diagihkan kepada semua cawangannya ke seluruh negara.

Utusan Malaysia


Read more...

‘Daging segar’ produk yang mengutamakan kebersihan

SEREMBAN 19 Mac – Sebuah syarikat milik penuh bumiputera, Farm Fresh Industries (Farm Fresh) yang terlibat dalam pengedaran daging segar memperkenalkan konsep kedai butik di bawah jenama ‘Daging Segar’ bagi mempromosi produk daging itu ke seluruh negara.

Pengarahnya, A. Halim A. Rahman berkata, konsep rangkaian pemasaran itu akan dilaksanakan melalui kaedah perkongsian pintar yang diwujudkan syarikat berkenaan melalui Program Usahawan Ternakan (PUT).

‘‘Kaedah ini telah diperkenalkan sejak hujung tahun lalu dan menerima sambutan amat menggalakkan daripada usahawan ternakan. Kita bercadang untuk membuka 50 lagi rangkaian kedai runcit sebegini untuk memasarkan daging segar di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut A. Halim, PUT merupakan inisiatif syarikat itu untuk membantu usahawan ternakan, terutama lembu dalam meningkatkan pendapatan mereka.

‘‘Hasil daripada sambutan yang memberangsangkan itu, syarikat sudah menetapkan sasaran untuk membuka lebih banyak cawangan butik Daging Segar di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak melalui konsep perkongsian pintar ini,” katanya.

Daging Segar merupakan jenama bagi rangkaian jualan daging mentah segar dan pelbagai produk berasaskan daging yang dilancarkan Farm Fresh melalui konsep moden, berhawa dingin dan bersih bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mementingkan keselesaan dan kebersihan.

Syarikat yang semakin berkembang itu turut melaksanakan sistem kontrak ladang di seluruh negara dan negara jiran untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan daging segar dan pelbagai produk berasaskan daging dari dalam dan luar negara.

Melalui PUT, A. Halim berkata, syarikat berkenaan berjaya memasarkan lebih 2,000 ternakan dalam tempoh kira-kira dua bulan dengan membekalkannya kepada ladang kontrak di dalam dan luar negara dan menjangka jumlah itu akan meningkat sehingga 5,000 ekor menjelang pertengahan tahun ini.

‘‘Semua ternakan itu ditempatkan di ladang ternakan di dalam dan luar negara untuk diternak secara ladang kontrak. Kami yakin usaha ini akan dapat membantu negara mengurangkan penggantungan terhadap daging import, sekali gus mengelak aliran keluar wang ke negara luar yang mencecah berbilion ringgit,” katanya.

Utusan Malaysia


Read more...

PNS peruntuk RM300j lahir 1,000 francaisi

Oleh: AMRAN AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Mac - Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi melahirkan 1,000 peserta francais dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengerusinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut melibatkan pembukaan perniagaan francais berskala kecil dengan modal awal serendah RM23,000, serta pengembangan perniagaan francais berskala dan bermodal besar keluaran tempatan.

"Dengan peruntukan sebesar itu, PNS mula menawarkan skim francais kecil seperti 'Otai Burger' kepada golongan belia dan beliawanis, yang minat untuk menjalankan perniagaan di kawasan kampung dengan pinjaman sehingga 90 peratus.

"PNS juga membangunkan perniagaan francais berskala besar seperti Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn. Bhd. dan Nineteen 0 One Sdn. Bhd. (1901) bagi mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan dan luar negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ismail berkata, sejak menggiatkan promosi industri francais di negara ini pada tahun 2004, PNS telah berjaya mewujudkan sejumlah 153 francaisi dan tujuh francaisor tempatan yang memulakan operasi sebagai pemilik skim.

Industri francais yang mula bertapak di negara ini sekitar tahun 1940-an terus berkembang dengan kemunculan banyak produk tempatan seperti Marrybrown (1981), EON (1986), Smart Reader (1989) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (1994).

Ismail berkata, selain pinjaman kewangan, pihaknya turut menyediakan bantuan seperti khidmat nasihat dan pemantauan berterusan agar peserta skim francais mampu bertahan dan meningkatkan daya saing dari semasa ke semasa.

Tambahnya, PNS juga membantu banyak syarikat tempatan yang mempunyai produk menarik dan menepati kehendak pasaran untuk diketengahkan kepada masyarakat menerusi program francais.

Katanya, bagi menyemarakkan perniagaan francais, PNS merancang mengadakan usahasama dengan syarikat serta firma milik kerajaan bagi melahirkan lebih banyak perniagaan francais pada masa depan.

Mengenai penyertaan kecil dalam industri itu di kalangan usahawan tempatan, beliau berkata, ia berlaku kerana banyak faktor termasuk modal awal yang besar dan sikap pasif pemilik perniagaan dan usahawan terhadap skop perniagaan francais.

Utusan Malaysia


Read more...

Tradisional dalam sentuhan moden

SADATUL MAHIRAN ROSLI

HAMPIR keseluruhan ruang di kondominium empat bilik yang berkeluasan 1,118 kaki persegi ini berkonsepkan budaya Melayu tetapi diberi sentuhan moden.

Memasuki sahaja rumah pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek, seolah-olah berada di sebuah rumah tradisional yang dipenuhi dengan perabot dan panel-panel kayu di setiap gerbang pintu.

‘‘Saya sukakan yang asli, sebab itu saya gunakan perabot kayu jati, tetapi saya tidak suka yang mempunyai banyak kerawang kerana sukar membersihkannya. Jika dilihat hampir keseluruhan perabot kayu jati di rumah saya adalah ringkas dan daripada jenis kayu jati Melaka, Myanmar dan Indonesia.

‘‘Saya memang berminat dengan konsep nusantara dan budaya Melayu, begitu juga dalam rekaan fesyen di mana saya lebih cenderung ke arah penciptaan pakaian kemelayuan, itulah juga saya mahu rumah yang didiami dikonsepkan supaya ia selari dengan cita rasa.

‘‘Bahkan, penggunaan kayu jati telah menjadi trend masa kini terutama kepada masyarakat bandar yang telah bosan dengan kehidupan konkrit dan kesibukan.

“Kita mahu duduk dalam suasana kedesaan Melayu dan ini adalah pilihan yang tepat bagi merasai kehidupan sebegitu,’’ katanya ditemui di rumahnya di Bukit Keramat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anak kelahiran Kluang, Johor ini memberitahu, sebelum berpindah ke rumah sekarang, beliau telah membuat beberapa pengubahsuaian supaya memberi keselesaan kepada keluarganya.

‘‘Walaupun saiz kondominium ini terhad tetapi setelah membuat pengubahsuaian ia kelihatan luas. Saya telah mengubah dapur kering menjadi ruang makan bagi menempatkan meja makan enam kerusi. Kerusinya ialah jati Myanmar manakala mejanya dari Bali.

‘‘Pengubahsuaian ini bagi memberi keluasan kepada ruang tamu. Jika sebelum ini ruang tamu berkongsi dengan ruang makan sehingga menyebabkan sempit dan menyukarkan anak-anak bermain, tapi sekarang ia lebih selesa,’’ katanya.

Suami kepada Anita Anuar ini menjelaskan, di ruang makan digantung cermin besar bagi memberi ilusi luas dan diletakkan kabinet jati Melaka yang memuatkan koleksi pinggan mangkuk kegemarannya.

Di sudut pula diletakkan jambangan bunga bagi memberi ilusi Melayu moden bandar.

Ditanya di mana dapat idea dalam menghias rumah ini, Salikin berkata, melalui buku-buku hiasan dalaman dan nasihat kawan-kawan yang terlibat dalam bidang tersebut.

Bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Ariq Siddiq Salikin, 6, Asila Sofea, 4, dan Ajwa Saliha, 1, ini begitu peka dengan hiasan dalaman dan susun atur perabot.

Misalnya, dinding di antara ruang makan dan ruang tamu ditebuk bagi memudahkan beliau dan isteri melihat anak-anak ketika melakukan kerjakerja di ruang dapur atau menikmati hidangan.

Begitu juga dengan hiasan lain yang ada bermotif eksklusif seperti lukisan-lukisan dan koleksi pinggan mangkuk yang boleh diwarisi turun temurun.

“Saya suka lukisan yang moden tetapi hidup seperti bunga lalang yang terdapat di ruang tamu karya Mariam Omar, koleksi gambar tumbuhan herba oleh Nik Malik Zainal Abidin, lukisan minyak Kassim Abbas serta lukisan penenun kain mengikat benang yang dibeli dari Kemboja.

‘‘Koleksi pinggan mangkuk seperti koleksi Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood iaitu motif nyonya kebaya, koleksi Harley Davidson dan pinggan mangkuk bercorak pemandangan dan lukisan, saya kumpul kerana ia mempunyai identiti yang tersendiri dan unik,’’ katanya.

Melangkah masuk ke rumah pereka yang telah memenangi pelbagai anugerah termasuk usahawan terbaik Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, sesiapa saja pasti akan tertarik dengan pintu Baba Nyonya dari Melaka yang dijadikan hiasan di ruang tamu dan daun pintu ruang dapur.

Melihat ke siling pula, lampu-lampu berunsur keislaman dan kemelayuan menerangi kediaman tersebut.

Lampu-lampu berbentuk pelita dan gaya Maghribi bergantungan di ruang tamu dan ruang makan rumahnya.

Kerusi kayu padat tiga tempat duduk dan sepasang kerusi satu tempat duduk gaya zen, serta sofa fabrik dua tempat duduk melengkapi ruang tamu diserikan dengan kusyen hiasan bersarung sutera rekaan Salikin. Gaya hiasan berteraskan Melayu dalam sentuhan moden jelas membentuk ruang tamu berkenaan.

Di sudut kanan ruang tamu bersebelahan dengan bilik anak-anak, kelihatan sofa fabrik bersayap berangka kayu berserta bangku kaki menyerlah lagi sempadan yang menghubungkan ruang tamu dengan bilik.

Di belakangnya himpunan gambar-gambar keluarga tersusun rapi di atas meja konsol berhampiran televisyen.

Dalam pada itu, penulis sempat meninjau kamar beradu pereka ini.

Ia ringkas namun tersusun rapi dengan katil jati bersaiz raja dan almari berlaci serta almari solek.

Beliau yang dipertanggungjawabkan untuk merangka kurikulum jahitan bagi Jabatan Pembangunan Kemahiran berkata, sebenarnya beliau dalam proses berpindah ke rumah barunya di Taman Setiawangsa.

‘‘Rumah dua tingkat, lima bilik itu dalam proses pengubahsuaian. Ia lebih selesa untuk keluarga dan anak-anak. Insya-Allah bulan Jun nanti, kami akan berpindah,’’ katanya.

Utusan Malaysia


Read more...

Harapan tinggi Masyitah pada Sky Antique Design


Masyitah Mohd. Yusof.

MUKADIMAH
YANG bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Begitulah pandangan Pengarah Urusan Sky Antique Design Sdn. Bhd., Masyitah Mohd. Yusof, tentang dunia perniagaan yang baru diceburinya tidak sampai dua tahun itu.

Pun begitu, dengan adanya usaha, kegigihan tanpa mengenal erti putus asa serta sokongan pekerja dan pelanggan, apa yang mustahil dicapai berjaya ditempuhi. Malah katanya, kecetekan pengalaman dan kematangan usia bukan ukuran kepada kejayaan tetapi ia lebih kepada faktor di atas.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto, MOHD. ZULASHRAFE ABDUL GHANI berpeluang menemuramah wanita berusia 28 tahun ini bercerita pengalamannya bergelar usahawan.

9/10 Punca Rezeki

MEGA: Bagaimanakah anda mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dan mengapa bisnes berkaitan hiasan dalaman, kabinet dapur dan pengubahsuaian menjadi pilihan?

MASYITAH: Sebenarnya, penglibatan saya dalam bidang keusahawanan bermula daripada idea suami, Rushdan Mustafa. Ini kerana dialah orang yang berperanan penting memberi pendedahan serta galakan kepada saya untuk turut serta bersama-sama dengan beliau mengusahakan perniagaan kami ini.

Bila kita sebut hasrat untuk mulakan perniagaan, kebiasaannya ramai berpesan, kalau kita hendak memilih sesuatu perniagaan, pastikan kita tahu sedikit sebanyak bentuk atau jenis perniagaan yang dipilih.

Saya mengakuinya tetapi oleh kerana minat yang begitu mendalam, dengan bermodalkan wang simpanan sebanyak RM200,000, kami memberanikan diri dan tidak memandang ke belakang.

Lantaran itu, Penubuhan Sky Antique Design Sdn. Bhd. pada Ogos 2006 di 11-1, Jalan Melati Utama 4, Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur membuktikan kesungguhan dan keyakinan, sekali gus merupakan langkah sulung kami bergelar usahawan.

Langkah seterusnya yang diambil ialah dengan membuka bilik pameran yang menarik dan di lokasi strategik. Ia bertujuan memberi peluang kepada mereka yang berminat boleh membuat perundingan atau sekurang-kurangnya mendapat idea demi rumah idaman mereka.

Alhamdulillah, kami mampu bergerak rancak dengan adanya seorang pengurus dan pereka bentuk hiasan dalaman yang mempunyai ilmu dan latar belakang luas dalam perniagaan berkaitan hiasan dalaman, kabinet dapur dan pengubahsuaian.

Malah dari situlah kami menyedari dan dapati potensi besar bisnes ini untuk terus berkembang apatah lagi, penerimaan masyarakat dengan konsep pembinaan kabinet dapur, pengubahsuaian dan perkhidmatan yang berkaitan semakin diterima dan dianggap sudah satu keperluan bukan lagi kemewahan.

Perkhidmatan yang bagaimanakah disediakan Sky Antique Design kepada setiap pelanggan?

MASYITAH: Alhamdulillah, semenjak bermula hinggalah sekarang, kami banyak menerima pelanggan yang pelbagai bangsa dan status.

Sebenarnya, setiap individu pelanggan itu mempunyai cita rasa dan kehendak mereka yang tersendiri. Ada yang mahu ringkas, bergaya, moden dan sebagainya.

Di Sky Antique Design kami pakar dalam menyiapkan kabinet dapur, almari pakaian, pembahagi ruang, tempahan khas katil, kerja-kerja pengubahsuaian dan kabinet televisyen serta yang berkaitan dengannya.

Bagi mereka yang sudah mempunyai kelengkapan dan kemudahan ini di rumah, kami turut menyediakan aneka aksesori sama ada untuk kabinet dapur mahupun di bilik tidur.

Antara kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan ialah kami menyediakan perkhidmatan seperti mereka bentuk, melakar, menyediakan sebut harga secara percuma dan melakukan kerja-kerja pengukuran tanpa dikenakan bayaran tambahan.

Sementara itu, dari segi kaedah pembayaran, kami turut menerima secara tunai dan kad kredit.

Pastinya dalam tempoh tidak sampai dua tahun ini, sudah ada cabaran yang terpaksa anda hadapi, apa lagi menyedari ia satu bisnes yang dimonopoli bangsa asing?

MASYITAH: Memanglah cabaran itu sentiasa ada tidak kiralah ia kecil mahupun besar. Namun, saya beranggapan setiap cabaran itu ada hikmah di sebaliknya kerana ia akan mematangkan kita dalam melihat sesuatu situasi itu.

Seperkara yang selalu saya terapkan ialah berpandangan positif terhadap apa juga cabaran mendatang. Ini kerana secara tidak langsung, ia membuatkan fikiran kita sentiasa ke arah positif walau sehebat mana dugaan melanda.

Mungkin peristiwa yang boleh diibaratkan ditikam dari belakang oleh orang yang dipercayai dalam syarikat boleh dikategorikan sebagai cabaran hebat kami. Apa tidaknya, kami terpaksa bangkit kembali semenjak peristiwa itu.

Namun, itu semua saya anggap sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan. Apa yang berlaku ini menyedarkan saya, sekali gus menjadi peringatan bahawa kita tidak boleh bulat-bulat mempercayai seseorang itu dan lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan.

Cabaran dari segi persaingan mungkin kita tidak dapat lari lebih-lebih lagi di kawasan perniagaan ini sudah terdapat beberapa buah syarikat seperti kami yang lebih kukuh namanya dan dimiliki bukan bumiputera.

Dengan kehadiran tenaga muda, mengutamakan kualiti, menepati cita rasa dan kehendak pelanggan serta beberapa promosi perkhidmatan secara percuma, saya percaya Sky Antique Design dapat terus bertahan.

Apakah perancangan masa depan anda dalam dunia perniagaan?

MASYITAH: Untuk masa terdekat ini, kami sedang dalam usaha untuk meluaskan pemasaran. Oleh itu kami menggunakan medium seperti iklan-iklan di media massa, penyebaran risalah-risalah berkenaan perkhidmatan dan kepakaran yang disediakan di sekitar Lembah Klang. Pun begitu, kami juga ada menerima tempahan pelanggan dari Seremban, Negeri Sembilan.

Sungguhpun pengetahuan orang ramai tentang keperluan kabinet dapur semakin meningkat namun pendidikan itu mestilah diteruskan, waima ia disampaikan secara tidak langsung.

Hakikatnya, setiap rumah mempunyai dapur dan ruang ini selalunya dianggap jantung kepada rumah. Memandangkan ketinggian penilaian yang diberikan kepada dapur maka sudah pasti dapur yang kemas dan teratur menjadi idaman setiap masyarakat.

Lantaran itu, kami berkeyakinan permintaan terhadap perkhidmatan ini akan berterusan dan tidak terhenti selagi mana pembinaan kawasan perumahan dan bangunan pejabat berkembang pesat.

Utusan Malaysia


Read more...

Dulu akauntan, kini usahawan

Oleh: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH (E-mel: wanitamingguan@utusan.com.my)


SUHANA bersama suami, Josaidy.

FESYEN dan fabrik memang sudah sinonim dengan wanita dan golongan ini semakin berdaya saing tinggi dengan menjadikan bidang ini sebagai satu perniagaan.

Apa yang membanggakan, wanita hari ini menjadikan industri fesyen bidang komersial untuk turut sama mengharungi pahit getir dunia perniagaan.

Tidak kiralah fabrik tradisional atau moden, kedua-duanya sama naik membantu wanita melibatkan diri dalam ekonomi negara. Malah penglibatan wanita dengan perniagaan songket dan batik bukan sesuatu yang asing, malah rekaan kontemporari menjadi pilihan utama pelanggan masa kini.

Seiring dengan peningkatan ekonomi hari ini, seorang usahawan wanita, Suhana Yusoff, 30 bersedia mengharungi pahit getir dengan menjadikan perniagaan yang dibangunkan suatu kebanggaan dalam memenuhi keperluan masyarakat.

Siapa sangka, wanita jurusan Sarjana Muda Pengurusan Kewangan dan pernah bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat terkemuka sanggup berhenti kerja semata-mata ingin membantu keluarga dengan berniaga.

Akhirnya, perniagaan warisan keluarga mula berkembang menjadi sebuah butik dan kedai fabrik dengan nama Seri Jemari Songket hasil usaha sama suaminya, Josaidy Johari, 37.

“Berbekalkan minat mendalam terhadap dunia fesyen yang menjadi bidang utama suami, saya berani mengambil risiko membuka perniagaan ini.

“Ramai yang bertanya, kenapa saya sanggup berhenti kerja sebagai akauntan dengan gaji yang agak lumayan.

“Bagi saya, itu bukan menjadi ukuran kerana dengan adanya perniagaan ini saya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.,” ujarnya yang sedang menanti kelahiran anak yang ketiga.

Namun wanita bertubuh kecil molek ini mengakui, cabaran dalam menjalankan perniagaan butik tidak sama dengan menghabiskan tugasan membuat akaun.

Segala-galanya menurut beliau memerlukan usaha berlipat ganda kerana untung atau rugi perniagaannya itu nanti terletak di tangannya sendiri.

Suhana membuka butik di 15-1, Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati di ibu negara selepas anak pertamanya meninggal dunia.

“Kehilangan anak pertama menjadikan saya dan suami tabah. Selepas peristiwa itu, kami bertekad untuk mengubah nasib keluarga,” jelasnya.

Sebelum membuka butik ini beliau sebenarnya telah melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu melalui suaminya dan sentiasa berkongsi pengalaman dengan pembantu kedai dan tukang jahitnya hingga hari ini.

“Selama lima tahun ini saya menerima sambutan yang cukup menggalakkan dan rasanya sudah tiba masanya untuk saya berkongsi kejayaan ini dengan wanita lain.

“Pada awalnya, bukan mudah untuk memajukan perniagaan ini tetapi keluarga terutama suami memberi sokongan.

“Kini, kami boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapi antaranya menjadi pembekal pakaian utama ketika majlis pertabalan raja baru-baru ini selain menyediakan pakaian rasmi batik untuk kakitangan Jabatan Perdana Menteri (bahagian adat dan istiadat).

“Selain itu, kami juga menyiapkan pakaian formal batik untuk beberapa acara yang melibatkan Kementerian Kewangan,” katanya.

Selain daripada menyediakan pakaian batik serta songket sedia pakai, Seri Jemari Songket juga bersedia menerima tempahan pelbagai barangan batik dan songket.

“Saya mementingkan kepuasan pelanggan dan sedia memberikan sentuhan peribadi terutama khidmat rundingan mengenai warna, fabrik dan fesyen yang sesuai dengan penampilan pelanggan.

“Kami menempah fabrik ini terus dari Terengganu untuk mendapatkan kualiti yang lebih terjamin. Misalnya, songket yang ada ditenun secara tradisional di sana,” ujarnya.

Mengenai fesyen pula, Suhana memberitahu, ia tidak terbatas kepada kurung, kebaya, baju Melayu atau kemeja sebaliknya juga tali leher, skaf, selendang, pario, kraf cenderamata, tengkolok, sarung bantal batik serta aksesori wanita turut disediakan.

Katanya, Seri Jemari Songket akan memastikan harga yang ditawarkan lebih berdaya saing selain memberi perhatian terhadap keluaran dan rekaan.

“Saya percaya, kalau disebut sahaja butik orang akan beranggapan apa yang ditawarkan di sini semuanya mahal belaka.

“Namun saya memberi jaminan bahawa apa yang ditawarkan oleh Seri Jemari Songket jauh lebih murah berbanding apa yang ditawarkan oleh butik-butik lain,” akuinya lagi.

Sebagai peniaga, Suhana turut memberi reaksi positif setiap komen atau ketidakpuasan pelanggan.

Jelasnya, setiap apa yang dikatakan oleh pelanggan merupakan satu anjakan untuk dia terus maju ke hadapan.

Untuk itu, mereka yang berminat mencuba sentuhan Seri Jemari Songket bolehlah menghubungi talian 03-41437511 atau 012-6349227.

Utusan Malaysia


Read more...

Kerepek Amanah laris


UMI Siti Amanah Sidek menunjukkan kerepek yang menjadi kegemaran orang ramai di rumahnya di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI 1 Mac – Demam Pilihan Raya Umum Ke-12 bukan sahaja dirasai oleh calon-calon yang akan bertanding dan para pengundi, malah ia turut memberi kesan terhadap pengusaha makanan ringan di sekitar daerah ini.

Salah seorang usahawan makanan ringan, Siti Amanah Sidek, 53, berkata, sebaik Parlimen dibubarkan pada 13 Februari lalu hingga hari ini, produk kerepek yang diusahakannya menerima tempahan luar biasa.

Beliau yang mengusahakan Perusahaan Makanan Ringan Ummi di Felda Air Tawar Satu di sini, berkata, tempahan itu kebanyakannya diterima daripada parti politik.

“Ada yang menempah untuk dijadikan salah satu juadah semasa majlis jamuan dan ada juga untuk dijadikan sebagai buah tangan. Antara makanan ringan yang menjadi pilihan ialah selayang pandang pedas dan manis, pagoda lemak dan pedas, kerepek ubi dan pisang, cakar ayam, kerepek bawang dan beberapa kuih muih lain, “ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang berniaga sejak lima tahun lepas dan mempunyai lapan pekerja memberitahu, pendapatannya meningkat ekoran permintaan mendadak itu.

“Bagi melicinkan perjalanan pemasaran, anak lelaki saya Abdul Rahim turut membantu dan dia menunjukkan kecenderungan tinggi dalam bidang ini,” katanya yang pernah menerima pinjaman perniagaan sebanyak RM60,000 daripada Jabatan Pertanian dan Felda.


Utusan Malaysia



Read more...

Arif penuhi selera anak muda

Oleh RAHANA MD


TUAN Arif Tuan Lah mengembangkan minatnya dalam aktiviti lasak kepada menceburi perniagaan membekal peralatannya.

CUTI sekolah akan tiba tidak lama lagi dan di kalangan kanak-kanak sekolah, inilah tempoh yang sesuai untuk merencana aktiviti luar yang lasak dan menyeronokkan.

Antaranya, aktiviti luar atau outdoor yang kini semakin mendapat sambutan bukan saja di kalangan generasi muda tanpa mengira jantina, bahkan turut diminati golongan dewasa.

Walaupun memerlukan ketahanan fizikal dan mental, aktiviti sihat ini memang digalakkan, malah terdapat pelbagai kelab ditubuhkan termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

Bagaimanapun, sesuai dengan kegiatan luar yang lasak, kelengkapan seperti pakaian, kasut, selimut, lampu, dapur serta beg yang bersesuaian amat diperlukan.

Bagi penduduk di Kota Bharu, Kelantan, tumpuan mereka sudah tentu di Outdoor Shop, iaitu satu-satunya kedai di bandar itu yang menjual kelengkapan untuk aktiviti luar. Pelbagai produk ditawarkan, daripada beg sandang belakang hinggalah kepada khemah dan kelengkapan memasak ketika di dalam hutan.

Bagi pemiliknya Tuan Arif Tuan Lah, 30, kegiatan luar seperti mendaki gunung dan merentas hutan, melatih fizikal agar lebih lasak di samping dapat menguji ketahanan mental.

“Selain menimba pengalaman baru, kegiatan luar ini menguji disiplin diri serta tanggungjawab kerja dalam kumpulan.

“Lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang seronok dapat kenalan baru dan mengadaptasikan dalam tugasan di institusi pendidikan masing- masing,’’ katanya.

Mengenai perniagaan yang diusahakan, Arif mengakui beliau tidak menyasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih kepada memenuhi keperluan penggemar aktiviti luar khususnya di kalangan golongan muda di negeri ini.

“Di samping itu, ia juga bertujuan memudahkan penggemar aktiviti luar mencari kelengkapan yang berkualiti tetapi dengan tawaran harga lebih rendah,’’ katanya

Bersama-sama rakan niaga, Roslan Ismail 45, dan Azhar Hasbullah, 40, mereka memulakan perniagaan pada akhir tahun lepas dan turut mempunyai cawangan perniagaan di Ampang City, Kuala Lumpur.

Sambutan menggalakkan

Arif mengakui masih hijau dalam bidang tersebut, namun melihat sambutan pelanggan beliau teruja untuk menggandakan usaha.

“Pelanggan rata-rata terdiri daripada orang ramai yang berkunjung ke sini dan kebetulan jatuh hati dan tertarik dengan koleksi di Outdoor.

“Selain itu, sebagai strategi pemasaran, kami meletakkan risalah di tapak-tapak pameran dan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Kota Bharu termasuk di kaki gunung Stong, Jeli. Maklum balas yang diterima memberangsangkan kerana turut menerima pelanggan yang pernah ke sana,’’ katanya.

Terletak di tingkat empat, pasar raya Billion Kota Bharu, Arif sendiri mempunyai sejarah tersendiri yang mendorongnya membuka sebuah kedai berasaskan barangan aktiviti luar.

“Sebagai anak muda yang gemarkan aktiviti luar termasuk menguruskan perniagaan yang memerlukan saya keluar negara, beg sandang belakang amat selesa dan memudahkan pergerakan.

“Bagaimana pun untuk mencari yang benar-benar selesa dan mampu dimiliki, saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar selain hanya dapat membelinya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Melihat kepada potensi perniagaan ini selepas ke Vietnam mencari bekalan yang berkualiti dan mempunyai banyak pilihan, saya mengambil keputusan untuk memasarkannya di sini,’’ ujar anak tempatan ini.

Beliau menambah, Outdoor Shop mendapat sambutan menggalakkan terutama di kalangan pelajar yang mewakili kelab di peringkat sekolah, kolej atau IPT.

“Pelanggan yang datang digalakkan membeli secara pukal dan mewakili kelab masing-masing untuk mendapat harga yang lebih rendah.

“Pelbagai kelengkapan ditawarkan di sini seperti pakaian, kasut, lampu suluh, khemah, selimut dan keutamaan diberikan kepada beg sandang belakang.

“Ramai keliru mengenai fungsi setiap beg, yang berbeza antara satu dengan yang lain. Terdapat beg khusus untuk mendaki, begitu juga bagi pengembara yang memilih untuk berjalan kaki.

“Ada juga untuk beg khas untuk berbasikal, malah terdapat beg yang sifatnya lebih lasak untuk golongan yang gemar mengembara seperti yang dibawa pelancong terutama dari negara Eropah,’’ katanya.

Melebarkan sayap perniagaan, kini Outdoor Shop menawarkan konsep francais kepada orang ramai yang berminat.

“Peluang ini terbuka kepada usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan atau di kalangan yang ingin menambah pendapatan.

“Keutamaan kepada usahawan yang telah mempunyai kedai kerana pihak kami akan mengekalkan konsep yang sama seperti yang terdapat di Kota Bharu.

“Di samping itu, kami juga akan membekalkan produk dengan mendahulukan separuh pembayaran daripada jumlah keseluruhan,’’ katanya.

Sempena cuti sekolah ini, pihak Outdoor Shop menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus kepada pelajar sekolah di samping memiliki kad keahlian dengan pembelian RM150 ke atas.

“Istimewanya kad ini melayakkan pembeli mendapat potongan produk sehingga 20 peratus bukan sahaja di Outdoor Shop tetapi juga merangkumi kedai rakan niaga di seluruh negara seperti mana yang tertera di kad,’’ katanya.

Kepada yang berminat, hubungi cawangan Kelantan di talian 09-7477966 dan Kuala Lumpur 03-42570707.

Utusan Malaysia


Read more...

Azhar tinggal kerjaya korporat tanam cendawan

KUALA SELANGOR 29 Feb. – Seorang akauntan sanggup meninggalkan kerjaya dengan sebuah syarikat korporat terkenal, semata-mata mahu menceburi industri tanaman cendawan dan usahanya itu ternyata berbaloi.

Walaupun tidak sampai setahun memulakan bidang itu, Azhar Abdul Rahman, 47, kini mampu memperoleh pulangan lumayan lebih RM300 sehari hasil tuaian cendawan tiram kelabu yang diusahakannya.

Mengusahakan tanaman di rumah cendawan dengan hanya keluasan 30.5 meter x 12 meter yang mengandungi 30,000 kompos, Azhar mampu mengeluarkan antara 40 kilogram hingga 50 kilogram sehari.

Berkat pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan stabil, hasil cendawannya itu mudah dipasarkan, malah ia masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Berbaloi saya berhenti kerja, selain dapat merasai bagaimana usaha gigih untuk bergelar usahawan dan tidak lagi sekadar makan gaji, saya juga kini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, saya menggalakkan golongan belia yang berminat, menceburi bidang ini yang ternyata boleh memberikan pulangan lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini hari ini.

Sehingga kini, dia hanya membekalkan cendawan kepada lima pembeli tetap yang kemudiannya menjual secara terus kepada orang ramai.

“Bayangkan jika saya membekalkan kepada restoran-restoran besar atau pasar raya besar, sudah tentu memerlukan bekalan yang lebih banyak.

“Sehingga kini, bekalan cendawan yang dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha seperti saya masih belum mampu memenuhi permintaan pasaran. Oleh itu, peluang dalam bidang ini sangat cerah sekali,” ujarnya.

Azhar memberitahu minatnya menceburi bidang itu timbul bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat menyertai sektor pertanian bagi menampung keperluan makanan negara.

Dia memilih tanaman cendawan kerana minat yang mendalam selain tidak memerlukan kawasan luas seperti ternakan kambing dan lembu.

Sebaliknya, dengan hanya kawasan yang kecil, rumah cendawan sudah boleh dibina.

Azhar memulakan usahanya itu dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM35,000 hasil simpanan sendiri tanpa perlu membuat pinjaman.

Menurutnya, bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, penjagaan kebersihan rumah cendawan perlu diberi perhatian.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tidak ada seekor pun lalat berterbangan di situ walaupun kawasan persekitarannya lembap.

Perhatian yang diberikan terhadap aspek kebersihan juga membolehkan Azhar mampu mengutip hasil sebanyak 12 kali sejak memulakan tanaman cendawan itu Mac tahun lepas.

“Sedangkan kalau menanam cendawan dengan teknik-teknik yang betul, pengusaha boleh mengutip hasil sehingga lapan kali setahun tetapi saya berjaya buktikan dapat mengutip lebih daripada itu,” katanya yang turut menyediakan khidmat kursus kepada mereka yang berminat menceburi bidang itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0301&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_06.htm&arc=hive


Read more...

Rezeki tidak datang bergolek


Azizulrahman Mohamed Hussain Malim.

LEBIH sedekad penubuhannya, telah menyaksikan perkembangan pesat De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd. sehingga diiktiraf serta dikenali sebagai sebuah syarikat percetakan milik penuh bumiputera yang memiliki reputasi baik di Lembah Klang.

Semua kejayaan ini tidak mungkin dikecapi tanpa kerja keras, keberanian dan kebijaksanaan Pengasas dan Pengarah Urusannya, Azizulrahman Mohamed Hussain Malim yang turut disokong kuat oleh dua adik beliau, Azizul Rahim dan Azizulmalik selaku Pengarah Operasi dan Pengarah Jualan dan Pemasaran dalam De’ Armani.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, ROY AZIS ABD. AZIZ menemuramah Azizulrahman, 38, di ibu pejabat De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd., di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MEGA: Untuk dikenali dan sebaris dengan syarikat percetakan yang dimonopoli syarikat asing bukanlah mudah. Sebelum sampai ke tahap sekarang ini bagaimanakah saudara bermula?

AZIZULRAHMAN: Kalau dilihat kepada latar belakang pendidikan, sebenarnya saya langsung tidak mempunyai pengetahuan formal dalam bidang percetakan. Ini kerana saya merupakan pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Dungun, Terengganu.

Pun begitu, semuanya bermula sewaktu mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika masih menuntut di pusat pengajian tinggi lagi iaitu kira-kira 17 tahun lalu.

Pada masa itu, saya membuat pemasaran kemeja-T dari universiti ke universiti. Pada masa yang sama diberi peluang membekalkan barangan percetakan.

Daripada situlah, saya kira titik-tolak kepada pengenalan dan pendedahan erti sebenar bidang percetakan.

Pada 1991, sebelum benar-benar serius dengan bidang percetakan, kami bermula dengan menyediakan serta membekalkan cenderamata korporat, alat tulis, kemeja-T di bawah syarikat Armani Enterprise. Malah pada masa itu operasi kami dilakukan di rumah.

Sehinggalah pada 1997, kami membuka sebuah kedai percetakan dan fotokopi di Kompleks Pertama, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sebelum membuka satu lagi cawangan di Plaza Warisan, Kuala Lumpur. Pada masa ini, adik saya, Azizul Rahim telah turut sama mengendalikan syarikat.

Pada Februari 2000, alhamdulillah kami terpilih menjadi pengedar tunggal sebuah agensi kad undangan perkahwinan yang eksklusif di dunia iaitu TBZ International dari Syria untuk pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pada 2001, De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan. Setahun kemudian berpindah ibu pejabat operasi dari Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selangor ke No. 13, Lorong Brunei Selatan, Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Setahun ke setahun, De’ Armani terus berkembang dan kami telah mula memfokus kepada industri percetakan dengan melabur dalam pembelian mesin cetak terkini dan canggih antaranya mesin cetak digital.

Pada 2004, De’ Armani melangkah setapak lagi dengan pembukaan kedai jualan dan ruang pameran di Lot 4, Aras Bawah, Semua House, Jalan Bonus 6, Masjid India, Kuala Lumpur.

Outlet ini menawarkan pelbagai perkhidmatan percetakan terutamanya berkaitan kad jemputan perkahwinan sebagai bisnes utama.

Kalau dahulu tumpuan kami kepada membekalkan produk cenderamata tetapi sejak awal 2007, bisnes teras kami ialah kepada memenuhi permintaan tinggi terhadap penyelesaian percetakan segera.

Kami memberi tumpuan kepada percetakan kad bisnes, kepala surat (letterhead), risalah, surat berita (newsletter), buku, beg kertas, fail kertas (folder), banner, bunting, pelekat dan banyak lagi.

Kelebihan memiliki mesin cetak digital yang tercanggih, menambahkan keyakinan De’ Armani sebagai pusat sehenti percetakan yang mampu menawarkan perkhidmatan mencetak buku-buku cenderahati, profil korporat, buletin dan bahan-bahan seminar tanpa batasan kuantiti, kualiti dan masa.

Apa yang kita ketahui industri percetakan telah lama diterajui oleh bangsa asing tetapi sejak kebelakangan ini barulah ada penglibatan daripada usahawan bumiputera Muslim. Jadi sepanjang penglibatan saudara apakah cabarannya setelah lebih 10 tahun menceburi bidang ini?

AZIZULRAHMAN: Pemonopolian bangsa asing dalam industri percetakan dari dahulu hingga kini memang tidak dapat dinafikan.

Ini kerana, mereka mengambil peluang daripada sikap segelintir masyarakat Melayu yang sanggup berhabisan dengan apa sahaja yang berkaitan perkahwinan antaranya seperti kad undangan perkahwinan. Malah mereka sanggup melabur dan hasilnya kita dapati hari ini merekalah yang mendahului bisnes kad undangan orang Melayu.

Namun, saya percaya bahawa kejayaan bumiputera Muslim masa kini adalah hasil daripada sokongan kerajaan dengan penyediaan pelbagai bantuan yang diperlukan oleh setiap usahawan.

Di samping itu, keprihatinan pihak pengurusan De’ Armani untuk mengubah arah konsep percetakan lebih kepada digital dengan pelaburan sejumlah RM400,000 untuk memperoleh mesin cetak terkini menatijahkan sesuatu yang positif untuk terus bersaing dan bertahan kukuh.

Sepanjang tujuh tahun belajar selok-belok perniagaan kad kahwin dan kita terpaksa merancang serta mencuba setiap reka bentuk ke pasaran bagi memastikan produk yang dikeluarkan itu dapat diterima serta menepati cita rasa dan trend.

Ia bukan sahaja dapat memberi kesedaran kepada para pembeli atau pelanggan tetapi turut menarik minat rakan-rakan pesaing.

Lantaran itu, saya amat berharap akan sentiasa mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berlanggan dengan kita.

Saya percaya dengan adanya kekuatan dan kemahiran 26 tenaga pekerja yang terlatih, kami mampu memberi yang terbaik kepada semua pelanggan.

Pada masa sama, pembukaan outlet kami di Semua House yang khusus menjalankan perkhidmatan mencetak kad jemputan perkahwinan dan barangan yang berkaitan seperti cenderahati, kemeja-T dan sebagainya.

Kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara suatu ketika dahulu turut dirasai syarikat kami. Namun kami mengubah strategi pemasaran dan penjualan.

Kami dapati dengan strategi sebegini, kita mampu bertahan dan pada masa yang sama mendapat modal pusingan yang seimbang.

Apakah perancangan masa depan anda dalam memacu arah tuju De’ Armani?

AZIZULRAHMAN: Saya sedang dalam perancangan untuk mengimport bahan kertas dari luar negara. Ini telah diusahakan serta pada masa yang sama, merancang untuk membesarkan kilang yang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti pengurusan di masa hadapan.

Selain itu, kami juga sedang berusaha memperbanyakkan rangkaian kedai-kedai kad undangan perkahwinan supaya imej produk dapat dikekalkan. Selain itu dapat memberi kepuasan serta jaminan kepada pelanggan bahawa jenama yang mereka beli berkualiti serta harga yang paling patut dan terbaik.

Buat masa ini, lokasi yang dikenal pasti ialah di Jalan Raja Abdullah iaitu berhampiran dengan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang berminat berurusan dengan kami boleh menghubungi ibu pejabat di talian 03-2142 4245.

Saya dimaklumkan bahawa penceburan saudara dalam bidang perniagaan sudah bermula semenjak di alam persekolahan lagi. Apakah nasihat yang boleh dikongsikan kepada usahawan Muslim yang lain?

AZIZULRAHMAN: Bagi saya mengusahakan bisnes sendiri ia tidak terletak kepada modal semata-mata, waima ia satu perniagaan yang kecil tetapi kita kena ada sikap berjiwa besar, bercita-cita dan yakin dengan setiap langkah yang dibuat.

Bertitik-tolak dari situ kena ada usaha yang berlipat kali ganda untuk memperoleh pulangan yang setimpal.

Malah dalam perjalanan itu, kita akan bertemu dengan pelbagai peluang dan rintangan, maka kita kena berani untuk mengambil risiko. Ini kerana ramai yang berjaya hasil daripada keberanian mereka mendepani risiko.

Pun begitu, orang senang bercakap apabila sudah berada di tahap kejayaan. Namun, kita perlu ingat bahawa tidak kurang juga yang menempuhi kegagalan walaupun menerima pelbagai bantuan dan sokongan modal.

Oleh itu, apa yang paling penting sekarang, di samping amanah pada diri sendiri, kita juga kena berkongsi kebahagiaan secara sama rata. Seperkara lagi, selalu berdoa memohon keberkatan daripada Allah s.w.t.

Sebut tentang bisnes, kita selalu menjadikan saranan Baginda Rasulullah iaitu sembilan daripada 10 pendapatan adalah melalui perniagaan sebagai pemangkin semangat. Apakah pandangan saudara?

AZIZULRAHMAN: Saya berkeyakinan penuh dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas, namun seperkara yang kita kena terima iaitu, ia tidak datang bergolek.

Malah untuk membuktikan kebenarannya, ia perlu kepada usaha, kegigihan, keinginan dan ketahanan.

Andai kata ia perkataan yang ajaib (magic), tidak mustahil kita semua sibuk hendak berniaga.

sumber Utusan Malaysia pada 29 Februari 2008


Read more...

Nor Suhella suri rumah jadi peniaga

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH (E-mel: wanitamingguan@utusan.com.my)


NOR SUHELLA.

TUGAS suri rumah menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi kerana seorang wanita perlu bekerja dari subuh hingga larut malam. Meskipun sibuk menguruskan rumah tangga, namun kebanyakan kaum ibu masih sempat melakukan kerja-kerja tangan sebagai hobi sampingan.

Meskipun begitu, kebanyakan mereka kurang bijak mencari peluang untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjual hasil-hasil kerja tangan berkenaan.

Sedangkan pada hakikatnya, jika kena gaya dan cara, suri rumah mampu menukarkan aktiviti sampingan atau hobi kepada sebuah perniagaan yang menguntungkan.

Sesuatu yang membanggakan apabila golongan suri rumah menunjukkan minat dalam perniagaan. Tanpa pengalaman dan pengetahuan mendalam, keberanian mereka menceburi bidang yang penuh cabaran itu wajar mendapat pujian.

Kata orang, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Begitulah yang berlaku kepada seorang isteri dan ibu, Nor Suhella Sulaiman, 36.

Jika selama ini menghabiskan masa seharian dengan urusan rumah tangga, sebaik bergelar usahawan, kesibukan tidak membataskan hubungan kekeluargaan.

Diiringi semangat dan iltizam, serta menjadikan rakan lain yang telah melakar kejayaan sebagai inspirasi, wanita ini berjaya membuktikan penglibatan dalam perniagaan bukan satu kesilapan.

Berbekalkan keazaman itu juga, Nor Suhella berani mengusaha perniagaan kraf tangan, hamper dan gubahan sebagai langkah pertama terjun ke dunia perniagaan.

“Wanita mesti berani mencuba meskipun asas dalam dunia perniagaan terlalu cetek. Tanpa pengalaman, sukar kita mencari kelemahan diri untuk diperbaiki.

“Di rumah, masa berniaga itu lebih lapang dan kita sendiri akan menentukan urusan harian tanpa arahan sesiapa,” jelasnya.

Bagi Nor Suhella, rumah tangga bukan alasan yang menghalang usahawan wanita mencipta nama setanding kaum lelaki.

Bahkan baginya, meski telah berjaya sebagai usahawan berjaya, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak pernah diabaikan. Lebih membanggakan apabila suami, Nik Mazlan Nik Mansor dan anak-anak, turut menjadi pendorong kuat di sebalik kejayaan itu.

Kesungguhan dan komitmennya dalam dunia perniagaan yang disemai sejak zaman persekolahan kini bercambah dan menghasilkan pulangan yang cukup lumayan.

“Dalam apa juga keadaan, pelanggan berada di tempat teratas dan mereka berhak mendapatkan apa yang diingini walaupun permintaan mereka kadangkala memeningkan kepala,” katanya.

Bagi wanita cekal ini, ia adalah antara cabaran dan dugaan yang seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh pengusaha jika ingin mengecap kejayaan.

Dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, Nor Suhella perlu berhati-hati dan mementingkan kualiti.

“Ada kala cita rasa pelanggan berbeza kerana masing-masing inginkan hasil yang paling memuaskan. Namun kita masih boleh cadangkan apa yang terbaik dan terserah kepada pelanggan membuat keputusan.

“Saya akan menghasilkan barangan berdasarkan kos perbelanjaan pelanggan,” ujarnya.

Sebagai peniaga bidang ini sejak tahun 2003 lagi, bagi Nor Suhella, mahal atau murah bukan kayu pengukur kepada kualiti sesuatu permintaan.

Katanya, hampir setiap majlis dan perayaan pada hari ini menggunakan hamper atau hadiah kraf tangan sebagai buah tangan yang berharga.

“Perniagaan saya bukan sahaja terhad apabila musim perayaan tetapi juga majlis korporat dan banyak lagi,” jelasnya.

Tambahnya, asalkan pengusaha tidak jemu dan cepat berputus asa dengan sambutan pelanggan, banyak lagi cabang lain yang boleh diterokai di bidang ini.

“Selain serasi dengan jiwa kewanitaan yang gemarkan kerja seni, bagi saya bidang ini turut menjanjikan pendapatan yang memuaskan jika diusahakan dengan tekun, sabar dan komitmen yang tinggi,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin belajar menggubah atau menempah hantaran, hamper, gubahan bunga dan kraf tangan, boleh menghubungi Nor Suhella di talian 016-6920557.



sumber Utusan Malaysia pada 24 Februari 2008


Read more...

Peniaga bumiputera mula kuasai ICT

CYBERJAYA 22 Feb. - MSC Malaysia telah berjaya dalam misinya menarik lebih banyak penyertaan bumiputera dalam bidang Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (ICT), menerusi programprogram kelolaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, ia telah melahirkan 464 syarikat bumiputera berstatus MSC Malaysia dari jumlah keseluruhan 1,900 syarikat berstatus MSC Malaysia, dalam dalam tempoh dua tahun sejak program pembangunan Pembangunan Usahawan Tekno Bumiputera (BITE) dan Program Akademi Usahawan Tekno (TAP) diperkenalkan.

"Walaupun bilangan ini kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan, ia merupakan peningkatan 40 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, MDeC sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan MSC Malaysia, telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berteraskan K-Ekonomi menjelang 2020.

"Bagi mencapai matlamat ini, salah satu fokus MSC Malaysia adalah untuk meningkatkan penyertaan bumiputera di dalam sektor ICT melalui pelbagai program yang bukan sahaja dapat mencungkil usahawan muda di kalangan bumiputera, malah ia juga mampu meningkatkan daya saing syarikat ICT bumiputera yang sedia ada," katanya di sini.

Badlisham berkata, program BITE dan TAP telah diadakan sejak tahun 2005 dengan kerjasama pelbagai pihak bagi menggalakkan kewujudan usahawan bumiputera.

Selain bidang perisian, katanya, bidang Multimedia Kreatif kini menjadi tumpuan usahawan bumiputera terutamanya golongan muda seperti Les Copaque Sdn. Bhd. yang menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa seperti Geng The Series dan Upih dan Lilin.

Les Copaque diasaskan oleh empat graduan Universiti Multimedia (MMU) dan pernah memenangi pertandingan antarabangsa dengan hasil rekaan animasi mereka.

Untuk tujuan mencungkil bakat-bakat muda, Badlisham berkata, MSC Malaysia mengadakan pusat inkubator seperti di Kuala Lumpur Sentral bagi tujuan membantu penyediaan Rancangan Perniagaan, mendapat Pembiayaan "Pre Seed" dan juga pembangunan perisian, sejajar dengan sasaran bagi meningkatkan lagi penglibatan bumiputera dan graduan di dalam bidang keusahawanan ICT.

KerjasamaKatanya, MSC Malaysia Cybercity, di Pulau Pinang turut membangunkan Pusat Inkubator Induk dengan kerjasama Penang Development Corporation (PDC) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada penghujung 2007, dua makmal yang dikenali sebagai "Business Lab" dan "Tech Lab" telah diperkenalkan bagi menaik taraf Pusat Inkubator Induk.

Di peringkat pra-universiti, Badlisham berkata, MSC Malaysia turut mengadakan kempen "ICT sebagai Kerjaya Pilihan," yang berlangsung sejak tahun lalu bagi menggalakkan lepasan sekolah mengambil jurusan ICT di universiti serta menghapuskan tanggapan bahawa para graduan ICT tidak mempunyai banyak peluang pekerjaan.

Di bawah TAP ini, katanya, satu jalinan usahasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDC) diadakan untuk melahirkan serta menggalakkan para usahawan baru ICT bumiputera.

Melalui program fasa pertamanya, enam buah negeri iaitu Perak, Johor, Melaka, Terengganu, Sabah dan Sarawak telah mengambil bahagian manakala dalam fasa kedua, TAP sedang giat diadakan di Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Kelantan, katanya.

Dari segi pembiayaan "Pre Seed," katanya kerajaan telah memperuntukkan RM80 juta bagi tujuan membantu usahawan bumiputera.

Setakat ini, katanya, sebanyak RM14 juta telah diagihkan kepada 42 syarikat yang layak.

Selain itu, Badlisham berkata, kerajaan dan MDeC menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 400 usahawan ICT bumiputera dalam tempoh lima tahun akan datang melalui program yang dikontrakkan kepada Alam Teknokrat Sdn. Bhd. (Skali).

- Bernama

sumber Utusan Malaysia 23 Februari 2008


Read more...

Guladama digelar ‘pakar’ permaidani


GULADAMA GUL RAHMAN.

BILA sebut bisnes berkaitan karpet buatan tangan dari Parsi, Afghanistan dan Pakistan, pasti yang terbayang di minda kita ialah bisnes yang diusahakan oleh kaum lelaki yang berasal dari negara-negara tersebut.

Namun, Guladama Gul Rahman, 53 tahun, berjaya membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu berjaya sehingga bertahan lebih 30 tahun.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, FATAH SULAIMAN berpeluang menemuramah wanita kelahiran Kuala Lumpur ini mencungkil rahsia kejayaannya.

MEGA: Bila dan bagaimanakah penglibatan puan dalam dunia perniagaan bermula?

GULADAMA: Kalau hendak bercerita tentang penglibatan saya dalam bidang perniagaan memanglah cukup panjang dan penuh berliku. Sebenarnya, memang daripada nenek moyang keturunan kami sewaktu mula-mula datang berhijrah dari Empayar Moghul, India ke Malaysia telah terlibat dengan perniagaan. Saya merupakan generasi ketiga yang lahir di bumi Malaysia dan pada masa itu menetap di Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Seingat sayalah, saya mula berniaga semasa berusia belasan tahun lagi dengan membuat perniagaan jualan langsung barang-barang loyang tembaga (brassware). Kemudian, pada tahun 1978, oleh kerana terlalu berminat dengan permaidani, saya mula membawa beberapa sampel permaidani.

Lebih kurang dua tahun lamanya saya menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah. Pada masa itu, pelanggan akan membuat tempahan menerusi sampel yang dibawa sebelum saya ambil daripada pembekal.

Setahun kemudian, saya mula mengimport sendiri barang-barang loyang tembaga dari Murada Abad, India dan pada tahun berikutnya, saya mengimport pula permaidani dari Pakistan dan Tibet. Pada lewat 1980-an saya membeli marmar dari Taiwan. Selepas itu, sedikit demi sedikit mengambil troli-troli dari Itali.

Setelah sekian lama beroperasi dari rumah maka pada tahun 1981, saya telah membuka kedai di salah sebuah deretan kedai di jalan utama, Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum membuka sebuah lagi lot kedai di Semua House, Jalan Masjid India.

Sayangnya, ia tidak bertahan lama iaitu selama setahun lebih kerana ketiadaan orang untuk menguruskan urusan rumah tangga dan anak-anak yang semakin membesar serta memerlukan perhatian.

Lantaran itu, sekali lagi saya beroperasi dari rumah. Oleh kerana, minat yang mendalam dalam dunia perniagaan, saya tidak berputus asa dan cuba mengubah kaedah pemasaran dengan membuat secara jualan langsung serta adakan parti-parti jualan produk di kalangan pelanggan lama dan baru.

Apabila anak-anak sudah semakin membesar dan berdikari iaitu kini antara usia 25 hingga 13 tahun, saya mula menanam hasrat untuk membuka sebuah kedai pameran seperti yang pernah saya buka dahulu.

Alhamdulillah, apabila anak sulung, Zaien Kamal menamatkan pengajiannya di Kanada dan kembali ke tanah air, dialah yang banyak membantu saya dan hasilnya, kedai pameran Elegant Touches Fine Carpet direalisasikan di 37, Jalan PJU 5/12, Dataran Sunway, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Mei 2007.

Selain memfokuskan kepada bisnes permaidani sama ada karpet buatan tangan dan mesin, apa lagi yang disediakan di kedai Elegant Touches?

GULADAMA: Bermula dengan minat kepada permaidani sehingga membawa kepada pengalaman lebih 34 tahun dalam bisnes sebegini menyebabkan anak serta pelanggan menggelar saya ‘pakar’ permaidani. Jolokan dan gelaran ini pastinya merupakan satu pujian serta pemangkin semangat malah galakan untuk saya terus berjuang dalam dunia perniagaan, meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

Kami di sini amat mementingkan kualiti dan kehendak pelanggan. Sebab itulah, saya memastikan lokasi mana permaidani itu dihasilkan. Kami di sini, hanya mengambil permaidani-permaidani yang dibuat oleh pengusaha di industri kotej (cottage industry) sama ada dari sempadan Parsi, Afghanistan dan Pakistan. Ini kerana, permaidani yang dihasilkan mereka diakui bermutu, tampak lusuh kerana lamanya tempoh pembikinan serta ia menggunakan pencelup atau pewarna yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia lebih mesra alam.

Pun begitu, di Elegant Touches kami juga menawarkan karpet-karpet yang dibuat dengan mesin memandangkan harga yang agak murah berbanding buatan tangan.

Malah kami juga menyediakan perkhidmatan membaikpulih dan mencuci karpet sungguhpun, mereka tidak membeli daripada kami. Kami juga menyediakan perkhidmatan selepas waktu pejabat memandangkan kesibukan masyarakat di kota.

Selain itu, Elegant Touches turut menawarkan perabot-perabot rumah seperti meja makan, almari sisi, rak televisyen dan banyak lagi daripada kayu jati dan kayu merbau.

Para pelanggan yang berminat dengan aksesori perhiasan diri seperti rantai leher, rantai dan gelang tangan sama ada mutiara, batu jed dan kristal juga boleh memperolehnya di kedai ini.

Bagi mereka yang berminat bolehlah berkunjung ke kedai pameran kami ataupun menghubungi kedai di talian 03-6141 7455.

Bila sebut bisnes karpet buatan tangan terutamanya yang diimport dari luar negara, pasti yang terbayang ialah harganya yang mahal. Adakah perkara ini menjadi halangan serta bagaimana puan menjelaskan kepada pelanggan?

GULADAMA: Harganya yang agak tinggi sedikit memanglah tidak dapat saya nafikan tetapi bak kata pepatah, ‘alah membeli, menang memakai.’

Jika hendak dibandingkan permaidani buatan tangan dengan permaidani mesin, ia sangat jauh berbeza. Salah satunya, karpet buatan tangan ini ia tidak berhabuk dan kalau mereka yang alahan serta berpenyakit asma, ia tidak memburukkan lagi kesihatan. Berlainan dengan karpet yang dibuat menggunakan mesin, ia bukan sahaja memerangkap habuk tetapi bulunya mudah bebas di udara dan secara tidak langsung, memberi kesan yang tidak berapa baik kepada mereka yang menghadapi masalah alahan kulit dan asma.

Lantaran itulah, kami lebih menyarankan pelanggan untuk membeli karpet buatan tangan yang banyak ditawarkan di sini walaupun harganya mahal sedikit. Apa lagi, dalam pembuatannya ia menggunakan bahan-bahan pewarna dan pencelup yang berasaskan tumbuh-tumbuhan, jadi ia lebih selamat dan tahan lama.

Karpet buatan tangannya selain lembut, bulunya juga tahan lama dan tidak mudah botak berbanding yang diperbuat daripada mesin.

Apakah rahsia puan terus bertahan dalam bisnes karpet yang kita ketahui jarang diceburi usahawan tempatan, lebih-lebih lagi seorang wanita?

GULADAMA: Prinsip saya, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan.’ Bertitik-tolak dari situlah, walau apa juga cabaran yang mendatang, saya pasti berusaha menghadapinya. Malah menerusi perniagaan inilah, saya membesarkan anak-anak sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Namun, itu sampai ke tahap sebegini bukanlah mudah malah ia memerlukan kerja keras, kesabaran, ketahanan mental dan fizikal, modal pusingan serta paling penting sentiasa berserah kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kalau hendak dikongsikan pengalaman pahit dalam dunia perniagaan seperti ditipu, pernah kehilangan van yang sarat berisi karpet serta banyak lagi, memanglah tidak sanggup ditanggung tetapi disebabkan minat yang mendalam, saya berani laluinya dan alhamdulillah berjaya menghadapinya.

Kakak saya pernah menyuruh saya berfikir semasak-masaknya untuk terus bergelar usahawan bila dia melihat kesukaran yang dihadapi, tetapi itu semua saya anggap sebagai satu cabaran.

Apa yang saya lihat, dalam berniaga kita mesti bersikap mesra pelanggan, ramah, menjaga rahsia serta membina seberapa banyak kenalan. Malah moto pelanggan adalah benar, mestilah sentiasa dijaga kerana kesabaran kita, secara tidak langsung akan membina hubungan baik yang berterusan hingga ke anak cucu mereka.

Apakah perancangan akan datang puan?

GULADAMA: Alhamdulillah, semenjak dibantu oleh Zaien kerja-kerja pemasaran dan di kedai agak teratur juga. Untuk tempoh jangka masa pendek ini, kami sedang berusaha membina kepercayaan pelanggan terutamanya yang baru dan mereka yang pada masa itu berada di kawasan ini. Pada peringkat permulaan, bisnes memang agak sukar tetapi selepas disebarkan risalah-risalah, sudah ada nampak sambutan contohnya kehadiran pelanggan.

Apa lagi dengan kemudahan pembayaran ansuran secara kredit menerusi penggunaan kad kredit tanpa faedah, diharap dapat menarik pelanggan.

Bagi perancangan jangka masa panjang, Zaien sedang dalam proses untuk membuka sebuah cawangan kami di Kanada. Insya-Allah, paling lewat pun pada tahun depan.

sumber Utusan Malaysia 22 Februari 2008


Read more...

Ramona ingin membawa kegemilangan industri spa

Oleh ROSLAH OTHMAN

SEPANJANG perbualan yang berlangsung selama kira-kira hampir satu jam di pusat kecantikan miliknya, Energy Day Spa di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, bibirnya tidak pernah terlepas menyebut perkataan ‘syukur’ berulang kali.

Sambil menguntum senyuman penuh makna, wanita berusia awal 50-an ini, mengakui beliau hanya insan kerdil yang dikurniakan sedikit kelebihan oleh Allah Taala untuk membantu orang lain.

Baginya, apa yang dinikmati hari ini hanya bersifat sementara dan akan hilang apabila tiba masanya.

‘‘Jika selama ini saya bertungkus lumus mengurus dan membangunkan perniagaan sehingga berdiri teguh seperti sekarang, kini sudah tiba masanya saya memberi kepada yang memerlukan,’’ begitu tutur Presiden Persatuan Spa Malaysia (AmSpa), Datin Ramona Suleiman.

Sementelah selepas apa yang berlaku dalam industri spa kebelakangan ini, langsung menyuntik semangatnya untuk membawa industri itu ke satu landasan yang sebenar.

Berkongsi senario tersebut katanya, di sebalik usaha Kementerian Pelancongan mahu menjadikan industri spa sebagai antara tarikan pelancong ke negara ini, pengusaha spa sepertinya terpaksa berhadapan dengan pelbagai dilema.

Ini termasuklah gejala maksiat seperti pelacuran yang sering dikaitkan dengan spa sejak kebelakangan ini, turut mencalit imej kepada industri itu lebih-lebih lagi pada pengusaha yang benar-benar serius dalam perniagaan.

Bukan itu sahaja, pengusaha juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah peraturan baru yang ditentukan sesuka hati oleh pihak berkuasa tempatan.

Antaranya, peraturan baru yang menghendaki pengusaha spa menghantar permohonan baru berserta deposit sebanyak RM1,000 dan mewajibkan pendaftaran pelanggan yang mengunjungi spa termasuk mengambil nama, nombor kad pengenalan, warganegara dan alamat mereka.

Menyeka

Beliau menyifatkan peraturan berkenaan sebagai remeh dan hanya menyekat matlamat membangunkan industri spa sebagai tumpuan pelancong.

Dilantik sebagai Presiden AmSpa sejak setahun lalu, bagi Ramona, tidak ada sebab untuknya menunjuk-nunjuk atau berbangga diri, sebaliknya lebih dianggap sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul secara ikhlas.

Sekurang-kurangnya dengan adanya kepimpinan yang jitu di peringkat tertinggi, hasrat beliau untuk memberi fokus kepada usaha meningkatkan lagi industri spa tempatan agar setanding dengan pengusaha luar negara mampu direalisasi.

‘‘Saya percaya negara juga mempunyai potensi menjadi destinasi spa utama dunia memandangkan kelebihan-kelebihan yang ada.

‘‘Ia bukan sahaja menawarkan harga berpatutan, tetapi juga perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan,’’ ujarnya yang turut menaruh harapan untuk menyaksikan lebih ramai usahawan wanita berjaya dalam bidang kecantikan.

Berkongsi pengalaman kata Ramona, beliau yakin apa yang dimiliki masyarakat dalam seni urutan tradisional dan rawatan spa antara kelebihan yang harus digunakan.

Katanya, dengan kelebihan yang ada hasrat menjadikan industri spa negara bertaraf dunia serta kepakaran setanding negara jiran.

‘‘Saya fikir sudah tiba masanya kita memperkenalkan industri spa kita sebagai produk ekonomi, perkhidmatan atau pelancongan kerana kita juga tidak kurang hebat,’’ ujarnya.

Beliau turut berazam mahu memartabatkan industri itu di kalangan masyarakat dan mahu mengubah minda mereka dengan melihat spa sebagai satu bidang profesional.

Selepas menyedari keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan, secara tidak langsung mendorongnya membuka Akademi Kesihatan Holistik dan Refleksologi Energy sejak lebih setahun lalu.

Akademi tersebut turut menawarkan kursus kemahiran dan latihan berkaitan urutan, refleksologi serta kursus kecantikan secara profesional.

‘‘Ia bukan sahaja bagi melahirkan mereka yang mahir dalam industri ini, bahkan turut memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal mengubah kehidupan dengan kemahiran yang ada,’’ ujarnya.

Apa yang membezakan, kursus dan kurikulum ini adalah yang pertama ditawarkan di negara ini dan ia dijalankan dengan kerjasama Akademi Kesihatan Holistik dan Refleksologi di Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat.

Ramona bertuah kerana selain keluarga, terutama suami dan anak-anak, ahli lembaga pengarah AmSpa sentiasa bersedia memberi komitmen dalam menjayakan pelbagai program yang dirancang.

Ini termasuklah usaha melancarkan laman web AmSpa sendiri iaitu www.amspa.org.my dan pelekat AmSpa yang menjadi penanda aras serta kriteria spa berkualiti.

sumber Utusan Malaysia 20 Februari 2008


Read more...

Usahawan francais perlu rebut peluang

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Langkah kerajaan memperuntukkan RM900 juta menerusi skim Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (Prosper), disifatkan akan membantu usaha melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dalam sektor francais.

Ketua Eksekutif Persatuan Francais Malaysia (MFA), Norol Azali Sulaiman berkata, perniagaan francais yang semakin berkembang maju di Malaysia sejak sedekad lalu, mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan.

Katanya, menerusi pelbagai insentif, termasuk Prosper, ia menunjukkan kerajaan sedar bahawa francais boleh menjadi satu daripada enjin pembangunan penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara seperti yang berlaku di negara-negara maju.

Untuk itu, ujarnya, kerajaan yang selalu mesra francais sememangnya serius dan komited dalam pembangunan industri francais.

‘‘Dengan segala sokongan seumpamanya daripada kerajaan, MFA yakin Malaysia mampu mencapai sasaran untuk mewujudkan sebanyak 50 jenama francais tempatan baru di samping melahirkan 1,000 francaisi bumiputera yang berdaya maju di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),’’ katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peruntukan sebanyak RM900 juta disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai pinjaman kepada usahawan-usahawan di bawah skim Prosper bagi meningkatkan penguasaan bumiputera dalam ekonomi.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 150,000 usahawan bumiputera di bawah (RMK-9).

Norol Azali berkata, di Amerika Syarikat dan Australia misalnya, industri francais menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada sektor peruncitan berbanding Malaysia yang masih tidak mencapai 10 peratus.

MFA, katanya, mengadakan program khas yang dinamakan Program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPPFT) bertujuan untuk mengenal pasti produk yang berpotensi difrancaiskan.

‘‘Ia seterusnya akan dikembangkan menjadi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui sistem francais,’’ kata beliau.

Menurutnya, beberapa sektor yang dilihat berpotensi untuk difrancaiskan adalah pertanian, perkhidmatan, pelancongan, pendidikan, pengeluaran dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Selain itu, ujarnya, industri francais secara keseluruhannya mengalu-alukan pelancaran lima koridor ekonomi di seluruh negara.

‘‘Ini merupakan peluang terbaik kepada para usahawan francais untuk memperhebatkan lagi rangkaian perniagaan memandangkan koridor-koridor ini bakal disertai oleh pelaburan asing,’’ katanya.

sumber Utusan Malaysia 28 Februari 2008


Read more...

ETIKA PERNIAGAAN DI DALAM ISLAM

TAJUK : ETIKA PERNIAGAAN DI DALAM ISLAM
TARIKH : 9 MAC, 2001 (13 ZULHIJJAH 1421)

Para jemaah yang dirahmati Allah sekalian,

Pada mimbar jumaat kali ini saya akan bawakan kepada tuan-tuan khutbah yang bertajuk " Etika Perniagaan Di dalam Islam "

Sebagaimana yang kita maklum bahawa perniagaan merupakan satu tuntutan agama kepada umatnya kerana dengan adanya perniagaan maka orang-orang Islam dapat menjalani kehidupan seharian mereka dengan selesa. Sekiranya kita menyorot kembali sejarah perniagaan di dalam Islam, ia bermula dengan peranan yang dimainkan oleh Rasulullah sebelum beliau diutuskan menjadi rasul. Di masa kecilnya baginda telah di bawa oleh bapa saudaranya ke negeri Syam untuk berniaga. Ketika usianya meningkat 25 tahun. Baginda telah diupah oleh seorang ahli perniagaan perempuan yang terkenal di Mekah iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid untuk menguruskan harta perniagaannya. Sepanjang pengurusan baginda terhadap perniagaannya, Saidatina Khadijah mendapat keuntungan yang berganda-ganda.

Selain dari beliau sendiri ramai sahabat baginda yang menceburkan diri di dalam bidang perniagaan. Mereka mendapat keuntungan yang banyak, antaranya ialah AbdurRahman Bin Auf. Beliau bukan sahaja terkenal di Mekah malahan terkenal juga di Madinah. Di antaranya faktor utama keuntungan yang mereka perolehi ialah kerana mereka berniaga mengikut etika yang digariskan oleh Islam.

Oleh sebab itu kita hendaklah sentiasa peka kepada etika tersebut khususnya barang atau benda yang dijual. Antara syarat pertamanya, jangan ada sesuatu barang yang hendak dijual itu najis seperti babi, arak atau sebagainya. Ini termasuk makanan yang diperbuat atau dicampur dengan salah satu daripada bahan yang najis walaupun sedikit ;

Syarat kedua, barang yang dijual hendaklah bermanfaat kepada pembeli, dan tidak sah dijual seperti semut, kerangka dan sebagainya ;

Syarat ketiga, barang yang hendak dijual adalah milik mutlak penjual itu sendiri dan bukannya milik orang lain kecuali sekiranya dia diwakilkan untuk menjualkannya ;

Syarat keempat, hendaklah barang itu suatu yang dapat dilihat dengan jelas seperti rupanya, warnanya, jumlahnya dan sebagainya; manakala

Syarat yang kelima, hendaklah pembeli menerima suatu yang hendak dibelinya dengan sempurna.

Syarat-syarat tersebut adalah di antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama kita, kerana Islam tidak mahu berlaku penipuan atau penyelewengan daripada penjual terhadap pembeli.

Perbuatan menipu ini sangat-sangat dilarang keras oleh Rasulullah seperti hadisnya yang bermaksud : " Siapa yang menipu kami maka dia bukan dari golongan kami, yakni kita tidak mengaku bahawa orang yang menipu itu dari umatnya "

Saudara kaum muslimin yang dikasihi,

Terdapat sesetengah peniaga Islam yang mengurangkan timbangan atau sukatan. Baginda Rasulullah s.a.w. menasihatkan peniaga ini supaya sentiasa bersikap jujur di dalam timbangan sebagaimana hadis baginda yang bermaksud : " Timbang dan lebihkan timbangan kamu ". Kerana balasan kepada peniaga yang sengaja mengurangkan timbangan atau sukatan dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-3

Maksudnya : " Ada suatu sungai di dalam neraka jahannam itu disediakan bagi orang yang hina, yang apabila mereka menyukat atau menimbang akan sesuatu yang mereka jual maka akan mengurangkan sukatan atau timbangan tetapi apabila membeli barangan dari orang lain mereka akan melebihkan sukatan atau timbangan untung mereka "

Oleh itu saya menyeru kepada peniaga-peniaga Islam agar segera sedar dan insaf serta muhasabah diri adakah selama ini tuan-tuan ada melakukan sifat-sifat terkutuk itu. Sekiranya tidak teruskanlah perniagaan tuan, semoga diberkati Allah. Tetapi sekiranya tuan-tuan ada melakukannya maka bersegeralah berhenti, bertaubatlah kepada Allah kerana kita tidak mahu, selain daripada dosa, darah daging yang terjadi daripada hasil yang haram akan dibakar oleh api neraka. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud : " Mana-mana daging kita yang dari hasil yang haram, maka api neraka lebih utama akan menjilatnya " kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kemewahan yang kita nikmati melalui hasil perniagaan yang haram itu seperti membeli pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya akan memberi keburukan kepada kita semasa di dunia lagi,

Kaum muslimin yang diberkati Allah,

Oleh itu untuk mendapatkan rezeki yang halal melalui perniagaan, setiap peniaga mestilah mengamalkan ciri-ciri murni ketika berniaga seperti jujur, menjual barang-barang yang halal, tidak menipu dacing dan lain-lain. Kerana apa yang kita mahukan ialah keberkatan dari Allah. Apa gunanya kita digelar ahli perniagaan yang ternama, orang kaya, ahli koprat yang terkenal, jutawan, tetapi hasil yang kita perolehi melalui cara yang haram. Untuk menambahkan lagi keberkatan harta perniagaan kita, maka adalah lebih afdal sekiranya harta tersebut dikeluarkan zakat, berderma dan bersedeqah kepada orang-orang susah, anak-anak yatim atau sebagainya.

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Agama Islam memang menggalakkan umatnya melibatkan diri di dalam bidang perniagaan yang halal. Kerana melalui perniagaan yang halal, hasil yang kita perolehi akan bertambah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud : " 90 % rezeki yang Allah berikan kepada manusia di dunia ini, adalah melalui perniagaan ". Manakala dalam Al-Quranulkarim Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 88 yang bermaksud : " Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepadanya, Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman ".

Khutbah jumaat


Read more...